MANJUNG: Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah terrhadap tahap kebersihan para peniaga makanan khususnya di bazar Ramadan.

Menurutnya insiden di mana seorang kanak-kanak lelaki yang disyaki meninggal dunia berikutan gejala keracunan makanan pada Selasa lalu selepas memakan makanan yang dibeli di bazar Ramadan merupakan satu perkara yang amat menyedihkan.

Katanya, peniaga makanan seharusnya mempunyai satu kesedaran sivik yang tinggi agar membolehkan mereka menjaga tahap kebersihan di gerai dan kedai masing-masing untuk mengelakkan sebarang kebarangkalian keracunan makanan.

Koo Ham menegaskan bahawa undang-undang dan peraturan mengenai penjagaan kebersihan dan kualiti gerai-gerai itu telah berkuatkuasa namun ianya harus juga datang daripada kesedaran peniaga bukannya bergantung kepada hukuman semata-mata.

“Sikap kita ini… bukanlah kerana ada penguatkuasaan baru kita hendak menjaga kebersihan, cara menyediakan makanan mengikut prosedur yang betul, kita harus sedar perkara ini dari awal lagi.

“Makanan merupakan perkara yang penting kepada manusia dan jika ada keracunan makanan atau mendatangkan mudarat kepada manusia, kita harus hindari dan ketepikan daripada membeli atau memakannya,”katanya lagi.

Menurut Koo Ham, makanan mempunyai kesan secara terus kepada badan manusia dan pengambilan makanan yang kotor dan tercemar akan membawa padah justeru harus dielakkan dengan sebaik mungkin.

“Dalam kes ini, ada satu kematian yang berlaku, perkara ini amat menyedihkan dan tidak harus berlaku kepada mana-mana keluarga.

“Saya merayu, kepada orang ramai dan pengendali makanan supaya bekerjasama untuk menjaga berkaitan perihal makanan ini, berkenaan insiden malang menimpa keluarga tersebut, buat masa ini saya agak lega kerana berdasarkan laporan pihak hospital mereka sudah stabil dan dijangka keluar tidak lama lagi,”katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di Hospital Seri Manjung pada petang Khamis.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ming, berkata seorang daripada tiga beradik yang dimasukkan di dalam wad telah dibenarkan keluar pada hari ini (Khamis).

“Dua lagi masih ditahan di dalam wad namun berada dalam keadaan stabil,siasatan masih berjalan untuk mengetahui punca sebenar episod keracunan makanan,”katanya kepada pemberita.

Sebelum ini, jabatan itu menerima laporan satu kejadian keracunan makanan membabitkan tujuh sekeluarga di Kampung Changkat Chermin, Ayer Tawar, pada Sabtu lalu.

Menurut kenyataan media berkenaan, empat orang daripada tujuh beranak telah dimasukkan ke dalam Hospital Seri Manjung sebelum seorang daripadanya meninggal dunia akibat komplikasi.

Dr Ding berkata, bagaimanapun siasatan di fasiliti kesihatan di sekitar lokasi gerai makanan di tepi jalan Simpang Gelung Pepuyu, dan bazar Ramadan di Titi Gantung mendapati tiada peningkatan kejadian kes ‘Acute Gastroenteritis’ dan keracunan makanan dikesan sejak 31 Mei lalu hingga sekarang.

Justeru, katanya, kejadian itu adalah kes terpencil dan hanya membabitkan keluarga itu sahaja dan jabatan berkenaan sedang menyiasat punca kejadian.