PUTRAJAYA: Semua parti politik dan calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perlu menjauhi sentimen perkauman sepanjang tempoh berkempen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, berkata peringatan itu kerap diberi kepada semua pihak termasuk di Parlimen.

Menurutnya, ahli politik tidak seharusnya menyentuh isu sensitif termasuk membabitkan hal agama atau bangsa bagi meraih undi.

“Negara ini mengambil masa bertahun-tahun membina perpaduan, tetapi jika sekali isu perkauman dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, dengan sekelip mata ia boleh meruntuhkan segala-galanya.

“Saya minta parti politik elak daripada menggunakan isu sensitif untuk menarik perhatian orang ramai terhadap mereka,” katanya kepada media selepas Majlis Pelepasan Program Kembara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (PERPADUAN) Media 2018, di sini, hari ini.

Beliau berkata, calon parti politik yang bertanding seharusnya memfokuskan kepada objektif untuk rakyat.

“Objektif mereka seharusnya untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat dan bagaimana menyatupadukan rakyat dalam mencapai matlamat diinginkan.

“Perkara (isu perkauman) ini tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat, malah ia hanya menimbulkan sifat benci sesama kaum,” katanya – berita harian