IPOH: Orang ramai dinasihatkan tidak membawa pulang anjing dari kawasan lain ke Mukim Taiping dan Bukit Gantang yang terletak dalam Daerah Larut Matang dan Selama bagi mengelak risiko jangkitan penyakit anjing gila atau rabies.

Merek yang disabitkan kesalahan memindah keluar anjing tanpa kebenaran Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 bulan atau kedua-duanya sekali.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan berkata, sehingga kini Perintah Kawasan jangkitan Penyakit Anjing Gila (Rabies) bagi Daerah Larut Matang Dan Selama yang dikeluarkan pada 14 Januari 2019 masih berkuat kuasa dan belum ditarik balik.

Justeru itu, katanya, semua pihak perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah wabak ini dari menular ke kawasan lain.

“Operasi sekatan dan rondaan jalan raya oleh Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak bersama dengan pihak polis di sempadan kawasan pewartaan sedang giat dijalankan bagi menghalang pemindahan keluar anjing dari sempadan pewartaan wabak rabies,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Menurut beliau, pemilik anjing dilarang melepaskan anjing-anjing mereka keluar dari premis tanpa pengawasan ketat walaupun mempunyai lesen atau kolar vaksin.

“Anjing yang didapati berada dalam kawasan jangkitan penyakit anjing gila tanpa pengawasan tuannya, boleh dimusnahkan oleh mana-mana orang yang diberi kuasa secara bertulis oleh Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak mengikut Akta Binatang 1953,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sejak operasi kawalan rabies dijalankan di Mukim Taiping dan Bukit Gantang, sebanyak 5,419 ekor anjing dan 958 kucing telah dibuat pemantauan dan pemeriksaan jangkitan rabies.

Di samping itu, katanya, sehingga hari ini, 4,262 anjing bertuan yang berada dalam lingkungan 10 kilometer dari kawasan wabak, telah diberi suntikan vaksinasi.

Dalam pada itu, kata Dr Ahmad Shafri, seramai 20,943 orang awam telah diberi pendedahan program kesedaran tentang bahayanya penyakit rabies dan cara menanganinya sekiranya diserang atau menjadi mangsa gigitan anjing.

Katanya, persampelan ke atas anjing liar di kawasan bersempadanan dengan kawasan perwartaan wabak rabies yang meliputi Daerah Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta setakat ini menunjukkan tiada tanda-tanda penularan wabak Rabies ke daerah-daerah yang berkenaan.

“Sehingga kini keadaan wabak rabies di Mukim Taiping masih terkawal dengan kes positif melibatkan jangkitan rabies ke atas anjing liar kekal kepada hanya empat kes seperti yang dilaporkan sebelum ini dan tiada kes baru dikesan di Mukim Taiping,” kata beliau.