KUALA LUMPUR : Dua pemimpin era BN, Pandikar Amin Mulia dan Salleh Said Keruak tidak patut dibenarkan masuk menjadi sebahagian Pakatan Harapan, kata MP Jelutong RSN Rayer hari ini.

Anggota parlimen DAP berkata keduanya bertanggung jawab cuba untuk meremehkan skandal 1MDB pada peringkat awal pendedahannya.

“Salleh dan Pandikar merupakan pendukung kuat kepada (perdana menteri ketika itu) Najib Razak dan juga memainkan peranan penting dalam memberi gambaran skandal 1MDB tidak lain hanyalah propaganda asing untuk menjejaskan kerajaan Najib.

“Rakyat Malaysia tidak patut memaafkan Pandikar dan Salleh serta mereka jangan sekali-kali dibenarkan masuk ke dalam kerajaan PH buat masa sekarang dan selama-lamanya kerana kesetiaan mereka akan berubah mengikut peredaran waktu,” katanya dalam suatu kenyataan.

Rayer mengulas majlis sambutan Perhimpunan Memperingati Hari Malaysia Sabah 2019 di Kota Belud anjuran Pandikar dan Salleh yang dihadiri Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Pandikar dalam ucapannya pada majlis itu turut meminta maaf kepada Anwar dan menyifatkannya sebagai pemimpin paling layak atau ‘the last samurai’ untuk menerajui kepemimpinan negara selepas Mahathir.

Sementara itu, bekas bendahari Umno Salleh, yang juga penasihat Usbo menyokong Anwar sebagai bakal perdana menteri.

Pandikar yang menjadi speaker Dewan Rakyat ketika terbongkarnya skandal 1MDB, kata Rayer bukan sahaja perlu meminta maaf kepada Anwar tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia.

Rayer menuduh Pandikar menyalahgunakan kedudukannya sebagai speaker Dewan Rakyat untuk menghentikan perbahasan mengenai 1MDB.

“Saya juga mesti merekodkan bahawa Pandikar berhutang Lim Kit Siang dan rakyat Malaysia permohonan maaf paling besar kerana menghalau Lim keluar dari sidang Dewan Rakyat ketika Lim membahaskan skandal 1MDB di parlimen,” katanya lagi.

Selanjutnya, Rayer berkata Pandikar juga perlu meminta maaf kepada MP Sandakan Vivien Wong kerana menyerangnya ketika pilihan raya kecil tahun lalu.