MANJUNG – Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kesibukan dan peningkatan usia tidak wajar dijadikan alasan untuk seseorang terus menuntut ilmu.

Menurut Dr Zambry, ilmu sangat penting kerana dapat membimbing manusia menjadi insan yang berjaya dan cemerlang di dalam kehidupan mereka.

Bercerita mengenai pengalamannya sendiri, beliau berkata, menjadi seorang ahli politik juga perlu mempunyai  ilmu kerana jika tidak, ia mungkin boleh menyebabkan pelbagai bentuk kerosakan yang dilakukan.

“Ilmu itu akan membimbing kita dan saya sendiri perlu belajar menambah ilmu,’’ katanya semasa berucap merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah-Sekolah Parlimen Lumut 2016 di Dewan Merdeka, Manjung pada Ahad.

Dr Zambry berkata, tahun lalu beliau sempat menambah ilmu dengan menuntut di sebuah universiti ternama di Amerika Syarikat iaitu di Universiti Havard.

Katanya, sebuah lagi universiti ternama dunia iaitu Universiti Oxford telah menjemput beliau untuk menyampaikan syarahan di universiti berkenaan minggu hadapan.

“Saya terpaksa pergi juga untuk sehari dua dan kemudian saya balik kerana saya dijemput untuk menyampaikan syarahan,’’ tambahnya.

Menurut Dr Zambry, golongan pelajar hari ini amat bertuah kerana dengan dunia siber mereka mudah mendapat ilmu pengetahuan yang bercambah, berbanding zaman dahulu di mana sumber ilmu pengetahuan hanya diperolehi melalui buku sahaja.

“Jadi hendak menjadi manusia, baik belajarlah bersungguh-sungguh dan sentiasa patuh kepada guru yang mengajar di sekolah,’’ katanya. – Suara Perak