IPOH: Majikan yang mempunyai masalah kewangan tidak boleh sewenang-wenangnya memberhentikan pekerja dan perlu melaporkan perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhampiran bagi proses rundingan.

Malah menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Masyarakat Sivil, Orang Asli, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna, A. Sivanesan, insiden ini sering berlaku sehingga menyebabkan ketidakpuashatian dari bekas pekerja.

“Apabila pihak majikan alami masalah kewangan mereka terpaksa hentikan pekerja, tetapi sebelum hentikan ada prosedur yang harus dipatuhi seperti melaporkan kepada JTK.


“JTK akan masuk ke kilang atau syarikat itu untuk adakan rundingan bagi mencari jalan penyelesaian, jika tidak dapat selesaikan masalah itu, maka langkah kedua ialah pemberian pampasan seperti yang termaktub dalam undang-undang,” katanya.

Sivanesan berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengurus Sumber Manusia Syarikat Belton Sungai Siput, wakil pekerja serta Jabatan Tenaga Kerja di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.

Pertemuan itu berlangsung bagi menyelesaikan isu berhubung pemberhentian 29 pekerja dari syarikat terbabit, di mana rata-rata di antara mereka sudah berkhidmat lebih 30 tahun.

Bagaimanapun menurut Sivanesan, pertemuan itu berjaya mendapat kata putus apabila wakil syarikat itu memberi jaminan kesemua 29 pekerja itu akan kekal bekerja dengan nilai gaji yang sama.

“Syarikat ini telah jalankan perniagaan selama 40 tahun tetapi pada 22 Jun mengeluarkan surat pemecatan kerja kepada mereka, saya sudah melawat kilang itu dan aturkan pertemuan ini.

“Selepas perbincangan kami dapati surat pemecatan ini tidak mengikut keperluan dalam Akta Kerja 1955, majikan setuju tarik balik surat ini, maka mereka akan terus bekerja.

“Majikan juga katakan syarikat ini akan diambil alih oleh pihak ketiga dan akan mengeluarkan surat perlantikan baru kepada 29 pekerja ini,” ujarnya.