PADANG RENGAS: : Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak menjadikan parti itu sebagai “perisai” dalam menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Kenyataan Khairy itu hadir beberapa hari selepas bekas ketua Pemuda Umno itu menyatakan “tidak gembira” dengan pelantikan Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat BN.

“Saya tuan-puan bukan saya tak hormat pada Datuk Seri Najib. Dia yang angkat saya jadi menteri. Dia yang lantik saya jadi menteri tuan puan. Mestilah sedikit sebanyak saya terhutang budi.

“(Tapi) saya merayu sangat janganlah gunakan parti untuk perisai diri sendiri kerana yang ada di bawah tidak berdosa. Jutaan ahli Umno tidak berdosa.

“Saya (pernah menjadi) menteri, saya tahu sedikit sebanyak kesilapan, saya mohon maaf kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Padang Rengas hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz. Ucapan Khairy itu disiarkan secara langsung di media sosial Facebook.

Khairy turut menegaskan pertuduhan yang dihadapi oleh Najib bukan bersifat peribadi, sebaliknya adalah satu jenayah bersifat besar.

Bagaimanapun, Khairy menambah bahawa dia tetap berpegang bahawa seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Bekas menteri belia dan sukan itu sebelum ini melahirkan rasa kurang senang dengan pelantikan Najib selaku pengerusi lembaga penasihat BN.

Malah, Khairy juga antara yang lantang mengkritik Najib selepas BN tewas dalam PRU-14 lalu.

Sementara itu, dalam ucapannya hari ini, Khairy turut menafikan tanggapan yang mengatakan dia hanya mendiamkan diri dan hanya sekadar ‘yes bos’ ketika berada dalam kabinet BN.

Jelas, Khairy, dia dan Nazri beberapa kali menegur Najib berhubung isu 1MDB, namun menurutnya, ia tidak diendahkan.

“Saya tak suka buka pekung di dada, tapi saya nak kena beritahulah bukan sekali dua kali, tetapi banyak kali ‘chief’ Nazri dengan saya bersuara dan tegur dalam mesyuarat jemaah menteri.

“Malah saya jumpa ‘one on one’ dengan Najib secara peribadi, saya bagi tahu dia, Datuk Seri kalau isu 1MDB tak selesai, kalau kita tak heret Jho Low ini ada kesan yang teruk pada kita,” katanya.

Pada 9 Julai lalu, Najib dilantik menjadi pengerusi lembaga penasihat BN.

Selain Khairy, Nazri merupakan seorang lagi pemimpin Umno yang mengkritik pelantikan itu, dengan menyifatkan ia sebagai langkah ke belakang.

Penganalisis politik pula menyifatkan pelantikan itu sebagai “pintu belakang” untuk membawa Najib kembali ke barisan pimpinan BN, selain dilihat sebagai “percaturan” Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk mengukuhkan sokongan.

Najib kini berdepan 42 tuduhan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan pecah amanah manakala Ahmad Zahid menghadapi 87 pertuduhan yang berkaitan dengan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

 

MalaysiaKini