Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SUNGAI SIPUT: “Kalau hidup kita susah,jangan diizinkan anak kita susah. Kemiskinan bukan untuk diwarisi,”.

Itu adalah ingatan mesra daripada Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal yang ingin melihat lebih ramai kaum Orang Asli mengambil peluang yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan keupayaan anak-anak mereka menerusi pendidikan.

Katanya, pendidikan merupakan wadah terbaik untuk mengeluarkan diri dari kemiskinan di kawasan pedalaman selaras dengan usaha kerajaan negeri pada hari ini untuk menggerakkan komuniti tersebut.

“Kepada ibubapa, untuk anak-anak kita ini, jangan biarkan kesusahan kita diwarisi. Kita kena berubah, kalau kita tak mahu berubah nescaya tidak akan berlaku apa-apa.

“Dalam masa yang sama, pertahankan adat resam kita, asal usul dan siapa kita sebenarnya, apabila kita tidak mempunyai kemudahan dan sebagainya di kampung kita. Apabila kita telah berjaya, kita balik dan memberi khidmat kepada kampung dan masyarakat kita,”pesannya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan beliau kepada komuniti Orang Asli yang ditemui sempena Majlis Perasmian Pelancaran Pusat Komuniti Bestari Samsung Memperkasa Komuniti RPS Sungai Siput, RPS Pos Legap, di sini hari ini.

Jelasnya, beliau ingin melihat lebih banyak pelajar Orang Asli di Perak berusaha dengan keras dan mengejar cita-cita seperti lapan kaum Orang Asli yang kini telah memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dan dua lagi yang menuntut di peringkat PhD.

“Hanya melalui pendidikan dan ekses kepada maklumat sahaja dapat memberi jalan keluar bagi sesebuah masyarakat untuk berubah menjadi lebih baik dalam pelbagai perkara.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata bahawa pihaknya akan melaksanakan gerakan menggalakkan kaum peribumi itu untuk menceburkan diri dalam aliran Teknikal dan Vokasional atau TVET.

“Saya percaya, ramai di kalangan pelajar dari kaum ini mempunyai bakat yang tinggi dalam bidang kemahiran dan kita akan memperkenalkan bentuk pendidikan yang sesuai dengan minat mereka,”ujarnya lagi.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata beliau komited untuk membantu mengubah nasib semua kaum khususnya etnik minoriti di Perak namun ianya memerlukan kerjasama dari semua pihak termasuk dokongan guru dan ibubapa.

Pusat Komuniti Bestari Samsung di RPS Pos Legap merupakan satu kerjasama di antara Samsung Malaysia Electronics, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) untuk meningkatkan taraf pendidikan kaum minoriti itu dengan menggunakan kecanggihan teknologi.