PENGUNDI pos yang masih belum menerima kertas undi dinasihatkan supaya tidak bimbang kerana masih mempunyai baki empat hari menjelang hari pengundian pada Rabu depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, berkata pihaknya memberi jaminan semua kertas undi terbabit akan sempat sampai di tangan pengundi dan menghantarnya semula kepada pegawai pengurus pilihan raya kawasan pengundian masing-masing sebelum 5 petang 9 Mei ini.

Katanya, pihaknya sedia maklum mengenai kegusaran di kalangan pengundi pos kemungkinan mereka tidak sempat untuk mengundi, namun memberitahu mereka usah bimbang.

“Tiada masalah teknikal. Saya dimaklumkan di luar negara ada yang belum terima dan pada masa sama ada yang sudah (terima) dan hantar balik ke sini.

“Saya faham kita teruja nak mengundi sebab itu bimbang kertas (undi) tak sampai.

“Jangan bimbang, Insya-Allah ada tempoh masa lagi, belum terlepas,” katanya kepada pemberita ketika meninjau proses pengundian awal Polis Diraja Malaysia (PRDM) di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

SPR sebelum ini memaklumkan, terdapat 12,000 pengundi luar negara dan 299,000 pengundi pos.

Mohd Hashim berkata, SPR mempunyai keyakinan terhadap Pos Malaysia yang diberi mandat dalam memastikan setiap undi pos tiba dengan selamat kepada pengundi berdaftar.

Sementara itu, Mohd Hashim berkata, seramai 277,590 pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka hari ini membabitkan 118,913 anggota polis termasuk mereka yang berpencen manakala 159,677 lagi anggota tentera dan pasangan.

Katanya, setakat 12 tengah hari tadi, sudah 45 peratus keluar mengundi dan di kawasan Lembah Pantai saja, 36 peratus.

“Di Bukit Aman saja mempunyai seramai 7,466 pengundi termasuk pesara yang belum menukar status sebagai orang awam dan alamat tempat mengundi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal PDRM di Bukit Aman.

Katanya, pegawai dan anggota yang terbabit mula memasuki tempat pembuangan undi seawal 8 pagi.

“Untuk proses pengundian pada hari ini, pegawai dan anggota terbabit adalah pengundi yang berdaftar di Bukit Aman bagi Parlimen Lembah Pantai.

“Sebanyak dua pusat mengundi dibuka di Bukit Aman iaitu di Dewan Badminton Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan Mes Pegawai Kanan,” katanya – hmetro

BERITA BERKENAAN10,000 Peluang Pekerjaan Baru di Bagan Datuk