IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah melakukan sanitasi di kawasan-kawasan yang dipercayai dilawati oleh makcik gelang pink yang tular di media sosial yang dipercayai melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

Sehubungan itu, orang ramai, khususnya warga Ipoh tidak perlu lagi bimbang untuk melawati kawasan-kawasan berkenaan.

Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, pihaknya telah melakukan sanitasi di empat atau lima kawasan, antaranya sekitar Meru Raya dan Stadium Perak.

“Fokus kita di kawasan kedai makan di kawasan Mydin dan di samping itu juga kita telah menggerakkan petugas kita di lokasi-lokasi yang telah dijejaki oleh makcik berkenaan.

“Jadi, bagi golongan masyarakat ini bukan satu isu yang menggerunkan kerana proses ini telah dilaksanakan.

“Apa yang penting bagi pihak masyarakat perlulah waspada dengan mengikut arahan-arahan yang dikeluarkan oleh KKM dan juga oleh kerajaan seperti mana memakai penutup muka dan juga menggunakan sanitizer dan lain-lain aspek yang telah ditekankan, terutama penjarakan sosial,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis korban dan kempen keselamatan kebakaran di Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Ipoh pada Sabtu.

Menurutnya, pihak bomba juga bersedia untuk melakukan proses sanitasi di tempat-tempat lain sekiranya orang ramai mempunyai maklumat mengenai kemungkinan ia dilawati oleh mereka yang disyaki positif COVID-19.

Pada 21 Julai lalu, foto seorang wanita yang dipercayai melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, tular di media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen.

Foto wanita tersebut yang sedang makan di sebuah kafe di Bandar Meru Raya jelas menunjukkan gelang tangan (wristband) berwarna merah jambu di tangan kanannya yang menandakan beliau di bawah perintah kuarantin COVID-19.

Ekoran daripada itu, orang ramai bimbang untuk mengunjungi premis-premis sekitar Meru Raya sehingga menjejaskan perniagaan di kawasan tersebut.