LANGKAWI – Orang ramai tidak perlu bimbang dengan pengumuman bajet berkaitan penurunan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar.

Penurunan harga daripada RM1 juta kepada RM600,000 telah diberikan untuk pemilikan asing menyebabkan timbul suara sumbang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembelian ini adalah hanya untuk konsep ‘holiday home’ sahaja.

“Kita bukannya berikan kerakyatan kepada mereka apabila mereka membeli rumah-rumah ini jadi tak perlu bimbang kerana ia cuma ‘holiday home’ sahaja,” katanya.

Dr Mahathir berkata, penurunan harga ini juga bertujuan untuk melariskan jualan kerana banyak lambakan rumah yang tidak terjual pada ketika ini.

“Kalau orang tempatan nak beli pun tiada masalah, kita buat semua ini sebab tak nak rugi sahaja,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat Lembaga Pembangunan Langkawi, hari ini.