IPOH: Orang ramai dinasihatkan jangan membuang ubat-ubatan yang tidak digunakan, termasuk yang telah tamat tempoh, sewenang-wenangnya.

Sebaliknya, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional Dan Sumber Manusia Negeri, YB A. Sivanesan, mereka sepatutnya memulangkan ubat-ubatan itu di hospital atau farmasi.

Menurut beliau, lazimnya hospital-hospital awam menyediakan tempat untuk orang ramai berbuat demikian tetapi masih kurang hospital swasta atau farmasi yang berbuat demikian.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak hospital swasta dan farmasi memberi sedikit imbuhan kepada orang ramai yang memulangkan semula ubat-ubatan yang masih belum tamat tempoh.

“Hospital swasta atau farmasi sepatutnya memberi sedikit pulangan wang sekiranya ubat-ubatan yang orang ramai memulangkan ubat-ubatan yang tidak digunakan tetapi masih belum tamat tempoh.

“Jika tidak, buat apa saya bersusah payah datang untuk memulangkan ubat itu, ini sepatutnya diubah,” katanya kepada media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan Awam 2018 anjuran Quest International University Perak (QIUP) di pusat membeli belah Ipoh Parade, di sini, pada Jumaat.

YB Sivanesan berkata, di hospital awam, biasannya orang ramai datang membuat pemeriksaan rutin dan pihak hospital hanya memberi bekalan ubat-ubatan yang cukup untuk tempoh rawatan seterusnya.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta pihak berkuasa agama negeri memberi penjelasan dan penerangan mengenai pendermaan organ.

Beliau memberitahu, berdasarkan maklumat yang diperolehi, kaum Cina paling ramai penderma organ walaupun mereka hanya kira-kira 28 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Dalam pada itu, beliau menyeru lebih banyak institusi penganjian tinggi swasta tampil untuk mengadakan kempen-kempen kesedaran di kalangan orang ramai sebagai salah satu tanggungjawab sosial mereka.