KUALA LUMPUR :  Keperibadian berjiwa rakyat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sekali lagi terbukti apabila baginda bertitah supaya orang ramai tidak membuat laporan polis terhadap pihak-pihak yang membuat komen negatif terhadap baginda.

Dalam titah baginda, Tunku Azizah menjelaskan akaun Twitter miliknya @cheminahsayang tidak dinyah aktif kerana sedih atau marah tetapi disebabkan oleh hal-hal peribadi.

Titahnya, tindakan itu dibuat bukan disebabkan oleh pembulian siber bahkan baginda tidak membaca atau sedar tentang komen yang dimuat naik tersebut.

“Saya menyah-aktifkan akaun bukan kerana sedih, terasa atau marah pada komen-komen mereka. Saya sendiri tidak membaca dan sedar mengenai perkara itu. Ia tiada kaitan. Saya ada sebab peribadi, tolong jangan buat laporan polis,’’ titah Tunku Azizah.

Tulisan Tunku Azizah itu dikongsi oleh anakanda baginda, Tengku Puteri Afzan Aminah dalam laman Twitternya sebentar tadi.

Warga maya baru-baru ini melancarkan kempen dengan tanda pagar #AmpunTuanku bagi ‘memujuk’ Raja Permaisuri Agong mengaktifkan semula akaun Twitter rasminya yang kononnya dinyahaktif ekoran komen-komen negatif dan biadab daripada segelintir pengguna media sosial.

Bagaimanapun, selepas isu itu menjadi tular sehingga menerima kecaman warga maya dalam Twitter dan laporan polis dibuat, seorang pemuda yang mengeluarkan kata-kata biadab terhadap Tunku Azizah tampil membuat permohonan maaf semalam.