GOPENG: Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung misi pencarian Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Ultra Trail yang dilaporkan hilang sejak 23 Mac lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, perkongsian laporan sebegitu hanya menyebabkan kegusaran kepada ahli keluarga dan pasukan penyelamat.

Menurut beliau, masyarakat perlu faham perasaan waris yang sangat menantikan berita atau khabar yabg benar.

“Tulat berita dan video yang kurang menyenangkan mengenai operasi tidak sepatutnya dihebahkan, jika ada buatlah sebagai simpanan sendiri,” katanya dalam sidang media di Pos Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang, dekat sini pada Isnin.

Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan pencarian mangsa perlu diperolehi daripada pihak berkuasa, sama ada polis atau anggota bomba sendiri.

Dalam pada itu, Komander Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Ismail Abdul Ghani menasihatkan pihak yang ingin membantu misi pencarian supaya membawa kelengkapan pelindung peribadi yang sesuai bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, berdasarkan pemantauan sepanjang sembilan hari operasi mencari digerakkan, terdapat kumpulan yang tidak memakai pakaian sesuai dan hanya berselipar.

“Bukan hendak menolak sumbangan orang awam, cuma kita nak pastikan mereka yang masuk dapat keluar dalam keadaan selamat.

“Kita juga nak elak berlakunya insiden selepas insiden, jadi
bawalah kelengkapan sesuai seperti memakai kasut, lampu suluh dan bekalan makanan untuk pastikan keselamatan diri sepanjang operasi,” ujarnya.