TAIPING – Kerajaan PH Perak disarankan memantau ketat soal pemilihan jawatankuasa kariah setiap masjid dan surau di negeri Perak bagi mengelakkannya menjadi medan berpolitik dan memecahbelahkan rakyat.

Penasihat Amanah, Ahmad Awang berkata, kerajaan PH Perak diharapkan mengambil berat soal itu bagi mengelak pihak tertentu mempunyai agenda kepentingan politik dan peribadi sehingga akhirnya merosakkan ikatan perpaduan umat Islam.

Menurutnya, mana-mana pihak diminta membuat laporan terus kepada kerajaan negeri sekiranya berlaku proses pemilihan jawatankuasa kariah masjid dan surau berasaskan kepentingan politik dan kelompok tertentu di peringkat kariah masing-masing.

“Saya lihat masjid masih dijadikan platform Pas untuk membicarakan soal politik dan mengutuk kerajaan di sekitar kawasan Lembah Klang meskipun di bawah kepimpinan kerajaan PH Selangor.

“Di Perak, banyak masjid masih menjadi kubu kuat Pas sehingga menimbulkan rasa kurang senang rakyat untuk melakukan ibadah, sekadar baginda Tuanku Sultan Perak sudah bertitah jangan menggunakan masjid dan surau sebagai platform politik.

“Kita tidak mahu unsur politik mencemari pemilihan jawatankuasa kariah masjid dan surau di bawah kerajaan PH dan saya berharap ahli jawatankuasa dipilih kelak perlu bebas kepentingan politik,” katanya sewaktu merasmikan Konvesyen Pemuda Amanah Perak kali-2, di Taiping Golf Resort, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dan Naib Ketua Pemuda Amanah, Syazni Munir dan Ketua Pemuda DAP Perak, Howard Lee.

Mengenai larangan kerajaan PH Perak terhadap usaha NGO Gerakan Pembela Ummah menganjurkan satu program perhimpunan di kawasan masjid di Masjid Tinggi, Bagan Serai pada Jumaat lalu, Ahmad menyifatkan keputusan itu tepat.

“Nama sahaja program anjuran NGO, tetapi di belakangnya disokong penuh kepimpinan Pas, malah tujuan program cuba memberi persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan PH berhubung isu agama Islam dan Melayu,” katanya.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain menegaskan kerajaan PH Perak akan tegas memastikan masjid bukan platform membicarakan agenda politik dan mengadu domba mengenai isu perkauman dan agama kepada rakyat.

“Mereka hendak sembang politik biarlah di luar kawasan masjid dan surau kerana masjid dan surau sewajarnya menjadi pusat penyatuan umat Islam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyeru Pemuda Amanah Perak meningkatkan usaha menambahkan keahlian baharu parti itu terutama dalam kalangan golongan muda untuk mengukuhkan jentera parti itu bagi menghadapi PRU15.

“Berdasarkan pencapaian cemerlang Amanah pada PRU14 lalu, kita turut menyasarkan mampu memenangi tambahan tiga atau empat kerusi Dun di Perak daripada keseluruhan 12 kerusi Dun ditandingi parti itu pada PRU15.

“Pada PRU14, kita berjaya memenangi enam kerusi Dun dan berharap penambahan ahli akan memberi kekuatan tambahan kepada Amanah Perak untuk memenangi tambahan kerusi disasarkan,” katanya – sinar