Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan orang ramai bahawa pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang bertindak menularkan berita palsu sesuka hati.

Katanya, tindakan tegas menanti mereka kerana perbuatan seperti itu jelas menggambarkan niat sebenar individu terbabit untuk menyebarkan berita palsu dengan harapan dapat mempengaruhi persepsi rakyat dan memburukkan keadaan demi kepentingan peribadi.

“Seolah-olah dirinya seronok bila berlaku tular..dia seronok tengok berapa banyak “likes”, berapa orang “share”, dan berapa banyak “viral” dia dapat dengan menyebar berita palsu ini.

“Tunggu, harga yang terpaksa anda bayar, kalau berani buat cerita palsu tunggu saja tindakan daripada pihak berkuasa,”katanya kepada pemberita.

TPM_rasmi_pusat_internetBeliau berkata demikian dalam sidang media dalam Program Perasmian 3 Pusat Internet 1 Malaysia di Kampung Teluk Buloh,Hutan Melintang,dekat sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid menegaskan, bahawa individu yang berani mereka berita palsu harus berani berdepan dengan pihak berkuasa dan menerima hukuman yang setimpal.

Mereka juga perlu berani berdepan dengan tindakan undang-undang kerana menyebarkan maklumat bertujuan meracuni pemikiran rakyat.

“Melakukan fitnah lebih besar dosanya daripada membunuh orang…bukan sekadar berita palsu kita lihat malah yang separuh benar pun ada.

“Kalau berita separuh benar ini dibuat dan mereka berasa seronok dengan berita begitu maka tindakan perundangan tidak mencukupi,”ujarnya lagi.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata undang-undang yang termaktub dalam SKMM hanya sebagai panduan namun tertib dan etika untuk tidak menularkan berita palsu adalah datangnya daripada pegangan seseorang individu itu sendiri.

“Kita mesti mempunyai tatatertib untuk menghormati orang lain dan mencipta kebenaran maka itu barulah dapat kita membentuk masyarakat yang penuh bertamadun dan beragama.

“Ertinya, teknologi itu cukup baik tetapi jika disalahgunakan maka teknologi akan merosakkan masyarakat, ada di kalangan media mereka dipertikaikan kerana orang ramai lebih percaya kepada berita palsu.

“Saya mohon kepada masyarakat Malaysia, tolak berita palsu, tolak berita fitnah, berita yang separuh kebenarannya, tolak perkara tidak benar kerana kita tak mahu pemikiran kita dirosakkan,”ujarnya lagi.