Pernah beberapa kali saya terserempak dengan beberapa produk yang kononnya telah disulam dengan ayat al-Quran.

Ia membuatkan saya tertanya-tanya, bagaimana produk sedemikian boleh disulam dengan ayat suci?

Bermacam-macam produk ada, daripada buah-buahan, makanan kesihatan hinggalah air kosong yang dikatakan amat istimewa atas alasan ia disulam ayat al-Quran.

Timbul persoalan, adakah semasa produk terbabit dibungkus atau dibuat, ada qari yang tolong membacakan 30 juzuk al-Quran atau adakah bacaan itu dialun secara pukal sewaktu produk disimpan dalam gudang?

Banyak kita lihat produk yang seolah-olah mempergunakan al-Quran dan hadis sebagai gimik pemasaran.

Ini membuatkan saya terfikir, adakah wajar kita membiarkan agama ditunggang dalam bentuk demikian menjadi suatu kebiasaan dalam masyarakat?

Penunggang agama adalah satu takrifan umum terhadap mana-mana individu yang mempergunakan agama bagi menghalalkan tindak-tanduk mereka.

Golongan ini termasuk lelaki miang yang tiba-tiba hendak mengikut sunah nabi apabila mahu berkahwin lebih daripada seorang walhal solat dan ibadat pun tunggang langgang hinggalah kepada penipu berjubah dan berserban memperdaya orang kampung dalam skim umrah palsu.

Mereka akan mempergunakan agama sebagai satu bentuk alat untuk mencapai hasrat.

Berlakon alim, warak

Banyak dapat kita lihat individu seperti ini di sekeliling kita, daripada mereka yang berpura-pura warak dan alim, tetapi petah mencerca dan mengumpat di belakang hinggalah pemimpin masyarakat yang memainkan watak alim ulama hanya sebagai imej untuk paparan kepada orang ramai.

Ia bukanlah sesuatu yang asing dalam hidup kita, namun sejak kebelakangan ini kemunculan media sosial bukan sahaja memberi ruang dan siaran seluas-luasnya kepada mereka, malah turut menjadi pentas untuk individu tertentu memainkan satu watak buat tontonan khalayak.

Saya cukup pantang dengan peniaga dan usahawan yang dengan begitu mudah berselindung di sebalik agama untuk menutup kelemahan sendiri.

Banyak kita lihat peniaga dan usahawan yang apabila gagal menepati janji, sama ada dalam menunaikan perkhidmatan atau produk yang tidak mencapai piawaian sepatutnya, dengan mudah berselindung di sebalik agama.

Janganlah nak diharapkan mereka memulangkan bayaran atau membayar ganti rugi, silap-silap pelanggan pula dipersalahkan dan nama Tuhan dijual, kononnya mereka teraniaya dan dizalimi.

Benar berniaga itu satu ibadat dan sememangnya kita digalakkan untuk menjalankan perniagaan berlandaskan Islam, menjauhi riba hinggalah kepada menjaga hukum halal produk kita.

Namun, banyak yang saya lihat khususnya usahawan dan peniaga Melayu, hanya menggunakan agama sebagai pelindung kepada kelemahan atau kegagalan mereka.

Agama, bangsa bukan alasan

Sebagai contoh, adalah afdal untuk kita membeli produk buatan orang Islam atau bagus untuk kita menyokong anak bangsa yang baru hendak naik dan mencuba nasib dalam bidang perniagaan, tetapi janganlah alasan itu digunakan untuk berlaku tidak profesional.

Walaupun peniaga itu seorang Muslim yang berbangsa Melayu, ia bukan alasan untuk mereka menawarkan produk dan perkhidmatan yang tidak berkualiti.

Saya sering mendengar luahan dan aduan, kononnya usahawan dan peniaga Melayu tidak diberi peluang dan sokongan, tetapi bagaimana kita sebagai pelanggan hendak memberi sokongan sekiranya produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kurang memuaskan.

Trend yang juga menimbulkan kerisauan saya adalah apabila penjual produk itu mempergunakan Islam sebagai gimik untuk melariskan jualan mereka.

Sebagai contoh, sebotol air mineral yang sememangnya tiada beza dengan mana-mana air mineral lain dari segi kualiti, isi kandungan atau punca airnya, didakwa lebih tinggi makamya hanya kerana ia mempunyai jenama ala Arab dan Islam.

Kononnya ia diperbuat dengan kaedah yang didakwa lebih Islamik.

Jangan kita samakan perkara ini dengan isu jenama, memberi alasan apa salahnya konsep produk dijenamakan di bawah nama Islam kerana pengguna sanggup membayar lebih untuk satu-satu produk hanya kerana jenama.

Alasan seperti ini saya anggap tidak boleh dipakai kerana agama bukan jenama.

Bahaya sekiranya perkara ini berlanjutan kerana nanti kelemahan yang ada pada satu-satu produk dan perkhidmatan yang konon dijenamakan atas nama Islam akan terpalit kepada agama yang tidak ternilai harganya.

Asas perniagaan itu mudah sahaja, tawaran adalah berdasarkan produk atau perkhidmatan dan nilai bayaran yang ditawarkan harus berlandaskan kepada kualiti dan permintaan.

Sekiranya produk berkualiti atau perkhidmatan yang ditawarkan mempunyai permintaan tinggi, sudah pasti nilainya akan lebih tinggi.

Jangan pula kita mempergunakan agama hanya kerana mahu mengaut untung besar dan memperoleh margin keuntungan yang lebih tinggi.

Kalau satu-satu produk itu, walaupun dipenuhi dengan nama ala Arab atau syarikat itu banyak memberi derma atau menaja sekolah tahfiz atau institusi agama sekalipun, akhirnya kita perlu kembali kepada perkara pokok.

Adakah produk dan perkhidmatan yang ditawarkan itu setimpal dengan bayaran yang dikenakan.

Janganlah kerana nama syarikat itu ada berbunyi Islamik atau tuan punya badan membawa watak warak dan alim dijadikan alasan untuk berselindung daripada kritikan atau maklum balas negatif terhadap produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Mungkin ini luahan hati atau pandangan peribadi terhadap mereka yang begitu mudah menunggang agama untuk mendapatkan keuntungan duniawi.

Daripada produk yang semudah-mudahnya menggunakan Islam sebagai jenama hinggalah kepada usahawan atau personaliti yang menayangkan sandiwara ala Islamik sebagai satu bentuk strategi perniagaan, saya anggap penunggang agama amat bahaya dalam merosakkan imej Islam.

Kita selaku pengguna Islam sememangnya mahu produk dan perkhidmatan yang berlandaskan hukum syarak, tetapi itu bukan kunci atau alasan untuk agama dipergunakan bagi tujuan perniagaan.

Janganlah kita pengguna Islam mudah terpedaya dengan penunggang agama yang dengan sengaja menggunakan nama Islam sebagai taktik bagi memperdaya pengguna.

Memang wajar dan patut kita menyokong produk dan perkhidmatan berlandaskan syarak, memang wajib untuk kita menyemak status halal atau menyokong perniagaan yang mesra ke atas permintaan dan keperluan umat Islam, tetapi wajib juga untuk kita menolak perniagaan, produk dan individu yang dengan sengaja memperbodoh-bodohkan pengguna Islam.

Memang wajar dan patut juga untuk kita menolak golongan yang mempergunakan agama sebagai satu bentuk gimik pemasaran.

Ayuh kita bersama-sama membanteras golongan penunggang agama – berita harian