KUALA LUMPUR – Pengguna disaran untuk menukar alat atur dan hos bagi gas memasak atau silinder gas petroleum cecair (LPG) dalam tempoh setiap lima dan dua tahun, masing-masing.

Pengurus Besar Bahagian Perniagaan LPG, Petronas Dagangan Bhd. (Petronas Dagangan), Ramzulhakim Ramli berkata, langkah tersebut adalah penting untuk mengekalkan ketahanan dan ke­selamatan gas memasak di rumah bagi mengelakkan berlakunya sebarang kemalangan.

“Ramai pengguna tidak mengetahui bahawa kedua-dua alatan ini perlu ditukar dalam tempoh ter­tentu bagi mengelakkan berlakunya kebocoran gas yang boleh mengakibatkan letupan dan kebakaran.

“Jika didapati ada buih terhasil di mana-mana bahagian hos, itu menandakan terdapat kebocoran, dan pengguna harus menukar alat tersebut dengan kadar serta-merta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media mengenai langkah keselamatan bagi pengendalian silinder LPG di sini. – K! ONLINE