IPOH: Petugas perubatan diminta tidak menggunakan media sosial untuk menyebarkan apa juga maklumat berkaitan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, ini kerana sebarang maklumat berkaitan kes itu akan digunakan sebagai bahan bukti dalam prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.

Menurut beliau, apabila mereka menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan maklumat, ia akan menimbulkan pelbagai spekulasi, sekaligus boleh menganggu siasatan.

“Gunakan platform yang betul dengan tampil sebagai saksi pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib supaya maklumat yang diperolehi itu boleh dikenal pasti sama ada mempunyai kesahihan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gotong-Royong Mega Hapuskan Denggi Di Taman Rapat Setia Baru di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan seorang jururawat yang tular di media sosial, kononnya pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi membuat kenyataan tidak tepat pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib yang dijalankan di Mahkamah Koroner.

Pada Jumaat, Dr Ahmad Hafizam yang merupakan saksi ke-24 berpandangan corak kecederaan dialami Muhammad Adib tidak padan dengan akibat dipukul berikutan kecederaan pada rongga dada (toraks) bukan seperti biasa dialami seseorang dipukul dengan objek tumpul, ditendang atau ditumbuk.

Susulan itu, seorang jururawat yang mendakwa merawat Muhammad Adib menulis beberapa komen di laman sosial media Facebook menyatakan bahawa kecederaan dialami anggota bomba itu adalah disebabkan oleh ‘violence’ (keganasan).

Bagaimanapun, pada Sabtu, jururawat berkenaan membuat permohonan maaf dan membetulkan kenyataannya.

Dia juga berharap pihak yang menularkan dakwaan itu agar memadamkannya.

Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Allahyarham meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Institut Jantung Negara pada 17 Dis.