IPOH – Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dan Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham ditempelak kerana sengaja mengelirukan rakyat dengan fakta “separuh masak” berkenaan isu viral pemansuhan 3,847 hektar Hutan Simpan Kekal baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berkata, kedua-dua pihak seharusnya melakukan kajian dengan lebih adil serta terperinci terlebih dahulu sebelum membuka mulut dan melemparkan tuduhan tidak berasas.

Menurut beliau, dakwaan kononnya pemansuhan itu dibuat secara tergesa-gesa adalah tidak benar kerana keputusan untuk memansuhkan kawasan berkenaan telah dibuat sejak 1998.

“Keputusan telah dibuat pada November 1998 yang melibatkan kawasan seluas 4,469 Hektar di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hutan Simpan Pondok Tanjung, Hutan Simpan Bubu dan Hutan Simpan Bukit Larut.

“Ia mengambil masa yang lama kerana proses yang perlu dilaluinya seperti sukat tanah dan sebagainya namun pada penghujung 2017 kerajaan negeri telah mengambil keputusan unutk mengurangkan kawasan pemansuhan kepada hanya 3,847 hektar,” katanya pada satu sidang media khas di sini.

Tambah beliau, pemansuhan HKS itu dibuat bagi tujuan Rancangan Tanah Pertanian Berkelompok (RTB) yang diberi milik kepada rakyat dan juga dijadikan rizab Orang Asli.

“Bahkan kawasan terbabit memang sudah tiada hasil kerana ia telah lama diterokai oleh pendudukan tempatan melebihi 40 tahun dengan tanaman pokok buah-buahan, malahan sejak 2015 hanya sekali sahaja pemansuhan ini dibuat sehingga hari ini” katanya.

Dalam masa sama, Saarani memberitahu, kerajaan negeri juga telah mengantikan semula pemansuhan itu dengan mewartakan 7,558.31 hektar tanah ke dalam HSK dalam negeri ini.

“Perak mencatatkan pelbagai kejayaan dan menerima pengiktirafan dalam pengurusan hutan, ini termasuk mempunyai keluasan HSK tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu 997,396.11 Hektar atau 47.43 peratus daripada keluasan tanah negeri semasa.

“Tidak benar kalau nak cakap kerajaan negeri hanya tahu memansuhkan HSK sahaja, jangan hasut rakyat dengan fakta separuh sahaja, kenapa dia tidak sebut ribuan ekar ditambah untuk HSK dan jutaan ekar yang masih kekal,” ujar Saarani.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan melakukan siasatan terhadap kenyataan yang dikeluarkan KUASA itu dan akan menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk dibawah Akta Anti-Berita Tidak Benar.

Tindakan sama juga mungkin akan diambil terhadap Koo Ham yang mendakwa tanah tersebut disyaki diberikan kepada “kroni-kroni” Menteri Besar melalui satu sidang media dibuatnya pada hari ini.

“Kita akan melihat dari segi undang-undang yang diperuntukkan jika ia didapati mempunyai unsur-unsur berniat jahat, fitnah, manipulasi fakta dan bertujuan untuk menghasut rakyat.

“Berani cakap berani tanggung, berani kerana benar dan mereka juga perlu tanggung jika salah,” katanya.