IPOH 7 Okt. – Menambah baik prosedur serbuan oleh penguatkuasa agensi agama merupakan langkah terbaik dalam mencegahan kemungkaran, kata Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim.

Menurutnya, langkah itu amat dialu-alukan daripada membiarkan maksiat terus berlaku yang merupakan satu kecuaian dari pihak yang diberi tanggungjawab.

Beliau berkata, dalam masa sama kuasa sultan sebagai ketua agama negeri perlu dihormati.

“Dr. Mujahid (Yusof) seharusnya menghormati Sultan sebagai ketua agama negeri kerana urusan penguatkuasaan undang-undang syariah adalah kuasa negeri, setiap negeri mempunyai tatacara jenayah sendiri.

“Ia termasuk di dalam amar makruf nahi mungkar dan menjadi kewajipan pemerintah menjalankan amar makruf nahi mungkar,” katanya.

Zamri juga menegaskan, pada asalnya mengintip atau tajassus tidak dibenarkan tetapi para ulama telah membuat pengecualian khususnya apabila ia melibatkan isu nyawa dan maruah, apabila ada sangkaan yang kuat mengenainya.

Menurutnya, ini terkandung dalam kitab-kitab Raudhah al Talibin

Nihayah al Muhtaj Al Ahkam al sultaniah dIhya Ulumiddin dan lain-lain.

“Ia termasuk dalam kaedah sad al zariah iaitu menutup pintu pintu kemaksiatan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof semalam mengenai larangan operasi khalwat.

Menurut Mujahid, apa yang dilakukan oleh individu di sebalik pintu yang bertutup bukan urusan kerajaan. – UTUSAN ONLINE