Oleh: Aida Aziz

IPOH: Agama tidak boleh dijadikan alat dalam sebarang kenyataan politik dan ideologi kerana ia akan menjadi asas kepada kewujudan pelampau agama.

Profesor Perbandingan Agama di Duke University, Amerika Syarikat, Bruce Lawrence berkata, perkara itu tidak terhad kepada agama Islam bahkan meliputi semua agama di dunia.

“Mungkin ada yang cakap saya buat ini atas nama Allah, Tuhan dalam semua agama tidak kira anda Islam, Buddha, Hindu, Yahudi atau Kristian. Namun perjuangan mereka itu ada kepentingan politik masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2017, di Casuarina@Meru di sini, hari ini.

Prof. Lawrence menyampaikan pembentangan bertajuk Konflik Sosial dan Pelampau Agama di persidangan tersebut.

Beliau turut menekankan isu pelampau agama yang terjadi di negara seperti Myanmar dan India sebelum ini.

“Di abad 21 ini pun masih berlaku pergerakan pelampau agama yang menyerang agama lain seperti di India dan Myanmar sehingga membunuh ratusan orang yang tidak berdosa.

“Kumpulan pelampau Buddha di Myanmar misalnya, bertanggungjawab menimbulkan sentimen anti-Islam dengan melakukan keganasan terhadap kumpulan minoriti di Myanmar.

“Kita mahu menyampaikan kesedaran kepada semua bahawa keamanan tidak akan wujud dari gerakan yang melampaui hak asasi manusia,” katanya.