IPOH: Semua pihak perlu fokus terhadap usaha untuk terus mengekalkan momentum kejayaan pasukan bola sepak Perak dan bukan menjadikannya seperti satu permainan politik.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketika ini, perbincangan harus dibuat untuk memperkukuhkan persiapan, lebih-lebih lagi skuad The Bos Gaurus telah disahkan dapat beraksi pada play-offLiga Juara-Juara Asia (ACL), musim depan.

Menurutnya, beliau perlu berjumpa dengan pentadbiran Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan dapatkan pandangan mereka di samping mendengar pandangan orang ramai serta memantau komen-komen penyokong.

“Nampak isu bola sepak Perak jadi macam permainan politik pula. Saya fikir semua sedia maklum saya tak berminat untuk terlalu banyak bermain politik, fokus saya adalah untuk mengekalkan momentum kejayaan pasukan,” katanya selepas kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Integriti Negeri Perak di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif PAFA, Selasa lalu, yang menolak peletakan jawatan Presidennya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dan memberi tempoh 14 hari kepadanya untuk memikirkan semula keputusan itu.

Bagaimanapun, mesyuarat itu menerima peletakan jawatan Timbalan Presidennya, Datuk Adly Shah Ahmad Tah.

Ahmad Faizal berkata, mana-mana individu pun boleh menjadi presiden atau timbalan presiden asalkan tetap fokus untuk mengulangi kejuaraan Piala Malaysia dan dapat menanam nilai-nilai baik pemain supaya menjadi tauladan kepada peminat bola sepak.

“Saya yakin selaku ADUN dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Hasnul akan membuat keputusan terbaik untuk masa depan sukan bola sepak Perak. Ini bukan mengenai kepentingan beliau, bukan juga mengenai kepentingan saya, apa yang penting fokus bawa lebih kejayaan kepada pasukan bola sepak Perak.

“Kerana contohnya jika saya dilantik sebagai presiden, tidak semestinya saya boleh bawa kejayaan hingga ke peringkat Asia,” katanya.