IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melarang mana-mana penganjur majlis ceramah agama di negeri ini menjemput penceramah yang tidak bertauliah.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, ini bagi mengelakkan isu-isu yang boleh menimbulkan keraguan dan keresahan di kalangan umat Islam.

Beliau mengingatkan pihak penganjur, termasuk jawatankuasa masjid dan surau, agar terlebih dahulu membuat permohonan dengan memaklumkan kepada JAIPk berhubung penceramah yang bakal dijemput.

Katanya, mereka perlu membuat permohonan itu sekurangnya-kurang dua minggu lebih awal kepada pihak Majlis Agama Islam Perak dan Pejabat Agama Daerah bagi memastikan penceramah yang dijemput mempunyai tauliah.

“Pihak penganjur dilarang sama sekali menjemput penceramah yang mempunyai latar belakang fahaman yang bertentangan dengan pegangan Sunnah Wal Jama’ah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini,” katanya kepada Suara Perak.

Yusop mengingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan mengikut Pengawalan dan Pengajaran Agama Islam Perak bagi mana-mana penganjur yang menjemput penceramah tanpa tauliah dan gagal memaklumkan penganjuran majlis ceramah kepada Majlis Agama Islam Negeri dan Pejabat Agama Daerah.

“Bagi kesalahan itu mereka boleh dikenakan denda RM1,000,” katanya.

Menurut Yusop, sebelum ini JAIPk ada menerima beberapa aduan daripada umat Islam berhubung terdapat penganjur yang dikatakan mengadakan majlis ceramah agama dengan menjemput penceramah tidak bertauliah.

“Kita telah menjalankan siasatan berikutan aduan yang dibuat, namun aduan yang dibuat itu tidak tepat,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata beliau, JAIPk sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan pihak penganjur majlis-majlis ceramah agama mematuhi peraturan yang ditetapkan.