KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar Menteri Besar serta barisan exco kerajaan negeri tidak mengecewakan kepercayaan baginda dan amanah rakyat.

Titah baginda, pemimpin politik perlu membaca mesej rakyat secara tepat, bagi menjamin rakyat dapat hidup dalam suasana harmoni, di samping usaha membina sebuah negara yang stabil, aman dan makmur lagi sejahtera.

“Rakyat jangan terus dibiarkan menampi nyiru harapan, sedangkan janji tidak berisi.

“Harapan rakyat yang mahukan pemerintahan yang adil lagi saksama berlandaskan undang-undang, hendaklah direalisasikan secara bersama oleh ahli-ahli Dewan Negeri, para hakim, para ulama, para umara, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, yang masing-masing turut diberikan amanah untuk membantu, supaya negeri ini terus dibangunkan dalam suasana aman dan warga,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Mengadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena sambutan ulangtahun hari keputeraan ke-62 baginda di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, budaya politik pasca 61 tahun merdeka, menuntut kepada menu baharu dan resipi baharu, dalam persekitaran politik yang baharu.

Titah baginda, kaedah memperoleh pengaruh melalui persaingan untuk menunjukkan siapa yang lebih Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban di samping siapa yang lebih Islam, Kristian, Hindu atau Buddha, semakin tidak relevan.

Sebaliknya, titah baginda, rakyat lebih mengutamakan untuk menilai siapa yang lebih bersih, amanah, telus dan lebih cekap mengurus tadbir.

“Rakyat mahukan pemimpin yang menunjukkan sikap lebih sedia mendengar daripada sikap hanya mahu didengar.

“Rakyat bersedia mendedahkan dan menolak pemimpin yang menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, atau mengumpul kekayaan untuk ahli keluarga, atau menjadi instrumen kepada ahli perniagaan. Belajarlah daripada kesilapan mereka yang terdahulu.

“Amat hampalah rakyat, jika pilihan yang baharu, turut mengulangi kesilapan yang sama, apatah lagi jika melakukannya secara lebih buruk,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin, rakyat mengimpikan pengagihan kekayaan yang lebih saksama, peluang pekerjaan yang lebih terjamin, taraf hidup yang lebih baik, tadbir urus yang lebih telus, pemimpin yang lebih amanah.

Baginda bertitah, rakyat mengimpikan pemerintahan yang adil, berlandaskan undang-undang yang dikuatkuasakan tidak secara selektif, melalui badan kehakiman yang berintegriti, dikendalikan oleh barisan hakim yang tidak memihak, tidak gentar, serta bebas daripada campur tangan politik.

Di samping itu, titah baginda, rakyat juga mengimpikan pemerintahan yang menghormati kesaksamaan gender, kaum, agama dan wilayah.

Titah Sultan Nazrin dinamik politik yang sedang berlaku, menuntut kepada budaya ketelusan dan keterbukaan.

Baginda kemudiannya berkenan menganugerahkan darjah kebesaran dan pingat kepada 18 penerima sempena ulang tahun keputeraan baginda.

Senarai penerima didahului Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu yang menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.