IPOH: Semua pihak diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh merosakkan imej institusi beraja di negara ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebaliknya berkata, ia perlu bersama-sama dihormati dan dipertahankan.

Menurut beliau, hak memilih Yang di-Pertuan Agong adalah di bawah kuasa Majlis Raja-Raja Melayu dan sesiapa sahaja perlu menghormati ketetapan yang telah dibuat sekian lama.

“Kepada sesiapa juga, saya harap hormatlah ketetapan yg telah dibuat sekian lama yang mana kita setiap lima tahun memilih Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan sembilan orang raja-raja Melayu.

“Kita letak ‘full stop’ dekat situ, tak payahlah ada orang nak sebut tentang perkara lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Layang-Layang Flying Academy di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada Isnin petang.

Beliau mengulas kenyataan sebuah portal berita yang mempertikaikan kredibiliti Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam isu perlantikan Yang di-Pertuan Agong selepas Sultan Muhammad V mengumumkan perletakan jawatan berkuat kuasa semalam.

Ahmad Faizal berkata, berdasarkan pengalamannya, Sultan Nazrin adalah seorang raja yang amat berjiwa rakyat, menitik beratkan kepentingan rakyat dan sentiasa memberi nasihat kepada kerajaan.

Tambah beliau, pihaknya dan exco kerajaan negeri mendapat berkerjasama yang cukup baik daripada Sultan Nazrin dan perkara itu akan dikekalkan.

“Kami ada jalinan kerja yang cukup-cukup baik dengan Tuanku Sultan Perak dan kita nak kekalkan perkara itu berterusan,” ujarnya.