KUALA LUMPUR: UMNO Perak meminta Kementerian Pendidikan supaya jangan terlalu kerap menukar dasar atau format pelajaran dan peperiksaan yang telah ditetapkan.

Sebaliknya, setiap dasar yang telah ditetapkan hendaklah diselesaikan sehingga ke penghujungnya.

Wakil Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin memberi contoh, pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris perlu diselesaikan daripada tahun 1 sehingga murid mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Jangan jadikan anak murid sebagai bahan ujikaji yang kita tukar pendekatan di separuh jalan,” katanya ketika membahaskan usul Agama dan Pendidikan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di PWTC pada Sabtu.

Menurut beliau, sekiranya dasar dan format sering bertukar, ia hanya akan menimbulkan kekeliruan.

“Kita boleh adakan kongres dan kajian tetapi biarlah sesuatu dasar itu selesai sehingga ke penghujungnya,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Dr Norashikin yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak berkata, perubahan-perubahan yang dibuat telah menyebabkan calon peperiksaan merasa kecewa dengan pencapaian mereka kerana tidak sebaik yang diharapkan.

“Peperiksaan hanya ujian semasa, saya yakin anak-anak muda kita pintar-pintar belaka dan mampu menduduki tempat-tempat di universiti,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar Kementerian Pendidikan Tinggi memantau bilangan Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) dan kursus-kursus yang ditawarkan supaya relevan dengan keperluan pekerjaan semasa.

Dalam masa sama, ujarnya, Kementerian Pendidikan pula disaran menambah bilangan atau tempat di kolej vokasional yang menawarkan bidang yang boleh bersaing di pasaran pekerjaan di samping mampu melahirkan usahawan.

Beliau mencadangkan supaya sebuah kolej vokasional dibina di 222 kawasan parlimen di seluruh negara yang tidak semestinya dibina baharu, tetapi menggunakan kemudahan sedia ada.

Beliau berpendapat, usaha itu perlu kerana mengikut Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran tahun ini dilaporkan 3.4 peratus dan dianggarkan 200,000 orang atau 50 peratus daripada mereka adalah golongan siswazah.

“Persoalannya, adakah sebarang kawalan dibuat terhadap bilangan IPT dan bidang yang ditawarkan?, soal beliau sambil menambah, ada pihak berpendapat ia mungkin kerana terlalu banyak IPT yang mengeluarkan terlalu ramai graduan yang tidak dapat ditampung oleh pasaran.

Mengenai penyalahgunaan dadah yang boleh menyebabkan pelbagai masalah sosial lain, UMNO Perak mencadangkan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengguna pakai kaedah Pelan Tindakan Strategik (PTS) Perak 2015 – 2020.

Dr Norashikin berkata, pola kes penyalahgunaan dadah agak membimbangkan dan meningkat saban tahun dengan bilangan penagih yang dilaporkan di seluruh negara setakat ini seramai 22,058.

Bagaimanapun, kata beliau, Perak telah mengambil langkah pro-aktif dengan memperkenalkan Pelan Tindakan Strategik 2015 – 2020 yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Februari lalu bagi mencapai Perak bebas dadah menjelang 2020.

Rentetan daripada itu, ujarnya, Dr Zambry turut melancarkan Kampung Bebas Dadah di Bukit Gantang, baru-baru ini.

“Oleh itu, sukalah UMNO Perak mencadangkan agar KDN dan AADK dapat mengguna pakai pelan tindakan tersebut bagi mencapai lebih banyak zon bebas dadah di seluruh negara,” ujarnya.

Menurut beliau, menangani masalah sosial merupakan satu usaha berat yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ia merebak dengan lebih serius.

Sebagai seorang yang latarbelakang perubatan dan pergigian, Dr Norashikin berkata, beliau dilatih untuk mengenalpasti punca masalah, mencari kaedah terbaik untuk menghalang masalah lebih besar dan melakukan pemulihan.

“Kadang kala kita perlu buat sesuatu yang mungkin tidak disukai ramai iaitu `invasive procedures, kita juga jika sudah kenalpasti kaedah terbaik, teruskan dengan rawatan tanpa menukar minda, kecuali ianya mendatangkan kerumitan pada masa itu,” ujarnya.