GOPENG 2 April – Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan sebarang ritual pelik atau aktiviti berbentuk pemujaan di lokasi peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, disyaki hilang sejak 23 Mac lalu.

Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung Pintu Padang, Mohd. Fairis Zabidi berkata, tindakan yang bercanggah dengan ajaran Islam itu telah mendatangkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk kampung.

“Saya nasihatkan kepada orang awam atau sukarelawan yang mahu membantu agar tolong dengan cara yang baik dan bukan dengan aktiviti yang di luar batasan agama.

“Ada di antara mereka yang datang bawa kemenyan, pasu dan tanduk rusa malah ada juga kumpulan yang membawa peralatan ritual lain,” katanya ketika ditemui di pos kawalan bomba di Kampung Pintu Padang di sini hari ini.

Menurut Mohd. Fairis, selain menjalankan aktiviti ‘pelik’, kehadiran terlalu ramai orang ke kampung itu juga menyebabkan penduduk berasa tidak selesa ekoran keadaan jalan sesak dan kenderaan yang diletakkan di merata tempat.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan agar memberi ruang kepada pasukan keselamatan khususnya bomba dalam menjalankan operasi mencari Mohammad Ashraf.

“Berkaitan isu keselesaaan, ada rungutan daripada penduduk contohnya keadaan jalan menjadi sesak, letak kereta merata-rata dan jalan di belakang rumah mereka dilalui oleh orang selain anggota keselamatan.

“Kami berharap mereka yang mahu datang membantu ini akan melakukan kerja dengan efisyen dan tidak melanggar tatasusila. Bagi pihak penduduk kami akan membantu sekiranya diperlukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE