IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mengingatkan mana-mana ahli dewan untuk tidak melemparkan tuduhan dan kata-kata kesat ketika persidangan berlangsung.

ADUN Pangkor itu juga menasihatkan wakil rakyat untuk menjaga perilaku dan pemilihan bahasa sebagai asas dalam menghormati persidangan dewan negeri tersebut.

Menurut beliau, sebarang tuduhan ataupun komen mengenai kes yang masih di dalam siasatan polis haruslah dihentikan agar ianya tidak menjejaskan perlaksanaan tugas pihak berkuasa.

“Elakkan daripada menggunakan istilah “pencuri” dan sebagainya, terhadap orang itu dan orang ini, ini sebenarnya perkara yang biasanya tidak dibenarkan di dalam dewan.

“Seharusnya, ahli yang berhormat di dalam dewan yang menggunakan perkataan sedemikian menarik balik kenyataan beliau,” katanya dalam sidang media sempena Sidang DUN pada Jumaat.

Selain itu, Dr Zambry juga berkata, secara keseluruhannya indeks jenayah di seluruh negeri telah berkurangan hasil daripada pemantauan dan tindakan kerap oleh pihak polis.

“Jangan lihat pada analisa peratusan jenayah tetapi kepada bilangan kes, kerana ianya akan menunjukkan jumlah sebenar berlakunya penurunan atau peningkatan kes di Perak.

“Sebanyak mana kita menginginkan negeri Perak berkembang dari segi ekonomi, kita juga ingin memastikan perasaan risau dan bimbang tidak berada di dalam masyarakar kita, tidak berasa takut kepada kejadian jenayah, itu juga sama pentingnya,” ujarnya.

Tambah beliau, kes yang sering berlaku adalah kecurian kabel di kawasan pesat membangun seperti Teluk Intan dan Manjung dan polis akan sentiasa melaksanakan pemantauan dalam mencapai hasrat kesejahteraan Perak terjamin melalui pengurangan jenayah.