IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengingatkan semua pihak supaya tidak melindungi sebarang kegiatan jenayah.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melindungi sebarang kegiatan jenayah.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri berkata, amaran itu adalah jelas dan merangkumi semua pihak, termasuk wakil rakyat, individu, badan-badan kerajaan, organisasi dan pihak swasta.

“Buat masa ini kami tidak menerima sebarang laporan mengenai perlakuan ini, tetapi tegas saya ingatkan, jangan ada pihak melindungi sebarang kegiatan berunsur jenayah atau underground.

“Sekiranya mereka didapati mengganggu dan menggugat keselamatan negeri, maka mereka akan ditangkap pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Bilik Media sempena Sidang DUN Perak pada Rabu.

Dalam pada itu, Dr Zambry memberitahu, kerajaan negeri akan memastikan pembangunan di pekan Trong akan berjalan dengan lancar dengan penyediaan kemudahan asas air, elektrik, dan balai bomba.

“Saya telah dimaklumkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa peruntukan Balai Bomba Trong telah diluluskan dan akan dijalankan segera.

“Kesemua ini akan dijalankan dengan bersepadu, terpulang kepada kawasan tersebut, di bawah Pekan Kecil Dataran Amanjaya@Trong,” ujar beliau.