KUALA KANGSAR – Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kali ini bakal menentukan hala masa depan negara serta nasib generasi akan datang, itu peringatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak.

Justeru beliau mengingatkan kesemua ahli parti khususnya dari UMNO supaya megenepikan soal peribadi dan siapa yang bakal menjadi calon pada PRU kali ini yang dilabelkan sebagai ibu segala pilihan raya nanti.

“Jangan fikir pasal soal calon, fikir pasal anak cucu kita, fikir pasal masa depan kita, belah sana (pembangkang) itu siapa ? kita dah tahu, Perak juga dah tahu siapa…(tempoh) 11 bulan dibawah mereka.

“Jentera mesti kerja…kerja yakni setiap seorang mesti ada kesan tambahan, jangan ada orang yang merajuk, jangan ada orang yang mengkhianati parti kita.

“Kita mesti padang ke hadapan, kita tahu ini (demi) survival parti kita, marah macam mana pun atau berbeza pendapat dan tak suka Perdana Menteri pun tak apa (tapi) jangan runtuhkan parti kesayangan kita ini,” katanya ketika berucap dalam majlis ramah mesra dan kenduri rakyat di sini pada Rabu.

Gesaan Pengerusi BN itu turut mendapat tepukan dan sorakan gemuruh oleh lebih 5,000 tetamu yang terdiri daripada jentera parti-parti di dalam BN.

Kata Najib lagi sebagai sebuah parti, BN dan UMNO mempunyai agenda yang cukup cantik melalui manifesto yang telah dibentangkan baru-baru ini sehinggakan badan-badan penarafan dalam dan luar negara menjangkakan ia bakal memberi suntikan kepada ekonomi negara.

Dalam pada itu, beliau memberitahu tindakan DAP yang tidak mencalonkan Dr Tan Seng Giaw sebagai calon Parlimen Kepong pada PRU-14 sebagai bukti ia bukan parti yang demokratik seperti didakwa.

Katanya, Tan merupakan mangsa keadaan hanya kerana beliau bercakap benar mengenai isu siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengesahkan Perdana Menteri tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Sebab dia cakap benar dia kena buang parti, dia cakap benar tak dapat jadi calon.

“Inilah parti DAP yang sebenar, siapa lawan arus atau kehendak pemimpin utama tidak boleh..mana ada demokrasi dalam parti yang mengatakan menjunjung prinsip demokrasi,” kata beliau.

BERITA BERKENAANKadar GST Tidak Naik Lepas PRU-14

1/7