KUALA KANGSAR: Guru-huru tidak harus mudah berpuas hati dengan kejayaan yang diperolehi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, seorang pendidik mesti sentiasa meningkatkan kualiti perkhidmatan agar menjadi contoh kepada perkhidmatan yang lain.

Oleh itu, kata beliau, para pendidik perlu sedar orang ramai, terutama ibu bapa sentiasa mengukur pencapaian berdasarkan standard kualiti yang telah dijanjikan.

“Para pelajar merupakan tiang negara dan bakal pemimpin negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

“Jadi pengasuhan, bimbingan dan dorongan dari segi semua aspek hidup dari peringkat awal lagi adalah amat penting,” katanya ketika berucap merasmikan majlis anugerah kecemerlangan Tingkatan 5 SMK Sayong di sini, hari ini.

Hadir sama Pengetua SMK Sayong, Paridah Hashim. Seramai 61 pelajar yang lulus dalam peperiksaan percubaan SPM lalu, menerima sijil masing-masing.

Menurut Hasnul, pencapaian pelajar dari segi akademik sahaja tidak memadai, sebaliknya pembangunan dan perkembangan tinggi dalam aspek keperibadian juga perlu diberi perhatian yang sama berat.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pelajar yang berjaya, beliau menasihatkan mereka yang tidak berjaya supaya jangan mudah berputus asa dan kecewa.

Menurutnya, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, merek harus mempunyai sikap rajin berusaha dan memcontohi mereka yang berjaya.

“Berpeganglah pada prinsip alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Saya percaya jika para pelajar dapat mencontohi mereka yang menerima anugerah pada hari ini, anda juga pasti akan berada di kerusi tersebut pada tahun akan datang,” ujarnya.