KUALA KANGSAR: Rakyat di sekitar Kuala Kangsar dinasihatkan agar tidak menerima hasutan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang cuba menimbulkan kebencian rakyat terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN), khususnya sewaktu proses pilihan raya berlangsung.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, rakyat seharusnya memperuntukkan masa sebijaknya untuk menilai sebuah kerajaan yang konsisten dalam menjaga kebajikan serta membela kepentingan rakyat tanpa mengira masa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, ianya bersesuaian dengan hasrat kerajaan BN yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat di Kuala Kangsar.

“Kenyataan dan soalan Tun M telah dijawab oleh pelbagai pihak, samada di peringkat kerajaan, swasta, badan-badan penguatkuasa dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) malah Peguam Negara, jadi kenyataan itu ternyata tidak benar sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Mesra Pelajar Bersama PTPTN dan Baiduri di SK Raja Perempuan Muzwin, di sini pada Khamis.

Shamsul Anuar berharap agar rakyat di Kuala Kangsar dapat mengetahui muslihat di sebalik tindakan Tun M yang mempersoalkan serba-serbi tindakan kerajaan.

Menjawab mengenai pemilihan calon bagi kawasan parlimen itu, beliau berkata, calon tersebut perlu memahami keadaan semasa dan meneruskan pembangunan di Bandar Diraja itu.

“Selaras dengan legasi arwah Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad di kawasan parlimen ini, kami juga inginkan yang terbaik, malah, calon tersebut perlulah seseorang yang mewakili parti secara keseluruhan dan bukannya hanya bekerja sendirian,” ujarnya.

Tambahnya, pelbagai pihak akan mencuba nasib untuk datang ke Kuala Kangsar terutamanya ketika PRK berlangsung, hanya untuk menabur janji kosong, justeru rakyat perlu bijak menilai perkara tersebut.

 “Saya percaya dalam tempoh dua minggu ini, macam-macam perkara dan fitnah akan berlaku tapi saya harap rakyat di Kuala Kangsar dapat membuat keputusan bijak dan memberi mandat kepada Barisan Nasional untuk meneraju kawasan ini,” katanya.