SUNGKAI: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menasihatkan orang ramai supaya jangan panik dengan pewartaan Mukim Matang sebagai kawasan dijangkiti penyakit anjing gila atau rabies.

Menurut beliau, pewartaan itu bukan bermakna telah berlaku wabak rabies di kawasan tersebut.

Sebaliknya, jelas Dr Zambry, pewartaan itu adalah pendekatan pro-aktif kerajaan negeri untuk membolehkan langkah-langkah pengawalan penyakit tersebut dibuat.

Beliau menambah, jika tiada pewartaan itu, mungkin ada pihak-pihak yang akan cuba menghalang Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk mengambil langkah pengawalan.

“Walaupun hanya seekor anjing yang mati tetapi kita mengambil langkah kehadapan untuk membenterasnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan masyarakat India di Dewan Seri Sungkai di sini pada Selasa sempena Program Permukiman Menteri Besar di Daerah Muallim.

Dr Zambry pada Isnin telah menandatangani pewartaan Mukim Matang di Taiping sebagai kawasan dijangkiti rabies.

Beliau meminta semua pihak memberi kerjasama yang sewajarnya untuk menangani isu tersebut.

Dalam masa sama, Dr Zambry mengumumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sepetang, Chua Yee Ling telah dilantik menganggotai Jawatankuasa Bertindak yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri.