IPOH: Mendengar bunyi bingit ekzos motosikal lewat tengah malam, mungkin menimbulkan pandangan serong terhadap golongan mat rempit atau anak muda yang gemar melepak bersama rakan-rakan.

Mereka sering dikaitkan dengan gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah, vandalisme malah kes jenayah seperti pecah rumah dan kes ragut.

Namun, Timbalan Pengerusi BN Tambun, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz mempunyai perspektif berbeza, malah melihat mereka sebagai pelapis kepada generasi akan datang.
Beliau berpendapat, mereka masih boleh diasah dan dibentuk melalui pendekatan berbeza.

“Saya sebenarnya dibesarkan dalam keadaan sederhana, mujur dengan pendidikan yang ada, saya berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara, tetapi bukan semua yang bernasib baik seperti saya.

“Jadi, saya tekad untuk mendekati golongan yang sering dipandang serong oleh masyarakat kerana percaya atau tidak, mereka ini sebenarnya bijak dan kreatif.
“Namun disebabkan stigma negatif masyarakat, mereka salurkan suara itu melalui aktiviti yang dilihat agresif,” katanya kepada Suara Perak sesi Majlis Bersama Anak Muda dan Masyarakat di Taman Mas Chepor, di sini, baru-baru ini.
Majlis itu turut dihadiri oleh beberapa pensyarah dan cendekiawan dari seluruh negara.

Dalam majlis tersebut, pensyarah dan cendekiawan berkenaan telah berkongsi latar belakang dan kehidupan mereka dalam sesi cukup santai bersama belia, anak muda dan penduduk kampung di kawasan berkenaan.

Malah, mereka juga berkesempatan melawat beberapa rumah dan memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan dan berpendapatan rendah.

Azizul Kama berkata, tujuan utama sesi santai dan “coffee talk” yang beliau adakan setiap hujung minggu adalah untuk menyelami masalah sebenar yang dialami oleh sesetengah belia yang mempunyai kecenderungan untuk menghabiskan masa di luar rumah.

“Niat saya, adalah untuk memberi mereka saluran dan peluang untuk mengemukakan idea masing-masing dalam usaha meningkatkan keyakinan mereka, suarakan masalah di kejiranan mereka.

“Melalui cara ini, mereka akan merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada komuniti dan akan mengambil inisiatif untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya jangan menyisihkan golongan itu, ambil masa dan peluang untuk mendekati mereka.
“Jangan pandang serong kepada mereka, mana tahu suatu hari nanti mereka bakal menjadi pemimpin dan pemikir hebat,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Azizul menubuhkan dua buah persatuan, khusus untuk mengalakkan penyertaan belia di dalam program komuniti iaitu Pasukan Keselamatan Komuniti Tambun (PAKAT) dan Majlis Anak Muda Tambun (MAMAT).