IPOH: Kira-kira 50 penduduk dari 10 keluarga di Taman Silibin Indiah di sini merayu agar pihak berkuasa membantu menyelesaikan segera masalah tanah runtuh di belakang rumah mereka yang telah berlaku sejak tiga minggu lalu.

Jika tidak sama seperti layanan yang diterima penghuni di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, Selangor, mereka berharap sebahagian daripada itu pun sudah mencukupi.

Jurucakap penduduk, Mohammad Rosli Mohammad Ginda berkata, walaupun runtuhan tanah di belakang rumah mereka, yang terletak kira-kira 30 meter dari Sungai Tambun semakin serius, namun belum ada sebarang tindakan diambil oleh pihak yang berkenaan.

“Kami tidak ingin untuk pergi ke hotel ataupun cari sewa rumah, kami boleh bertahan, kami akan berjaga-jaga setiap hari ada saja yang berjaga-jaga jika berlaku keadaan yang lebih teruk.

“Tolonglah, bantulah, sebab takkan yang berlaku di Taman Ukay Kelab boleh dilakukan, diberikan peruntukan segera dalam masa 24 jam, kenapa kami, selepas 19 hari, tiada.

“Kalau tidak dapat seperti apa yang diperolehi oleh penduduk Taman Ukay Kelab, sekurang-kurangnya kami dapat juga la,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Seorang lagi penduduk, Mejar (B) Moses James berharap kerja-kerja pembaikan tanah runtuh itu dapat dipercepatkan bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku.

“Selepas kejadian 13 haribulan, mereka datang pagi dan petang tetapi tidak ada apa-apa tindakan daripada mana-mana pihak sehingga hari ini.

“Bila dah berlaku macam ni, kita nak tidur pun rasa serba salah sebabnya kita nampak pergerakan tanah dan kadang kala kita dengar bunyi tak, tak, terpaksa kita lari daripada depan rumah ke belakang hendak tengok mana yang tercabut,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Jelapang, Cheah Pou Hian berkata, beliau telah cuba mengatur pertemuan antara mangsa yang terlibat dengan anggota pelbagai agensi dan kerajaan negeri, namun tiada juga sebarang maklum balas.

“Saya ingin bertanya, apakah mangsa perlu menunggu sehingga ada yang terkorban, baru kerajaan negeri akan memulakan kerja-kerja pembaikan,” katanya.

Penduduk tidak menolak kemungkinan memohon perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk campurtangan bagi membantu menyelesaikan masalah mereka.