Oleh: Aida Aziz

IPOH: “Jangan guna ungkapan reda jika anda tidak berusaha untuk membetulkan perkara yang salah dan menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat yang ditindas di negara sendiri.”

Tegas ungkapan yang dilontarkan oleh Timbalan Pengerusi Aqsa Syarif, Dr. Fauziah Mohd Hassan ketika membicarakan tentang isu-isu yang rapat dengan perjuangannya membantu pelarian di Semenanjung Gaza, Palestin.

Beliau yang aktif dalam aktiviti kemanusiaan dan memperjuangkan isu-isu Palestin menegaskan, seharusnya masyarakat dunia terus memberi harapan kepada mangsa penindasan tentera Zionis di semenanjung itu.

“Lakukan sesuatu untuk tunjukkan pada mereka (rakyat Gaza) yang masyarakat dunia masih ambil berat dengan situasi dihadapi selama ini, walau sudah berpuluh tahun lamanya menjadi pelarian di negara sendiri namun semangat mereka tidak pernah pudar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai panel yang membincangkan topik Humanitarian Issues & Universal Peace di Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2017 di Casuarina@Meru di sini, hari ini.

Turut bersama-sama beliau dalam sesi itu ialah Ketua Misi Women’s Boat to Gaza (WBG), Ann Wright dan Pengarah Eksekutif Asean Rohingya Center (ARC), Dr Mohd Helmi Ibrahim, manakala Profesor Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah bertindak sebagai moderator.

Beliau menjelaskan, golongan wanita mampu menyampaikan mesej keamanan dunia dan menghulurkan bantuan kemanusiaan seperti yang dilaksanakan dalam misi-misi mereka sebelum ini.

Fauziah merupakan antara 13 aktivis yang ditahan oleh pihak berkuasa Israel semasa mengikuti pelayaran kapal Zaytouna-Oliva dalam misi WBG ke Gaza yang diasaskan Freedom Flotilla Coalition (FFC) pada Oktober 2016.

“Sebagai wanita, kita tidak perlu meninggikan suara kepada tentera Israel di Gaza, apatah lagi membuat provokasi untuk menyampaikan mesej dunia. Ada juga yang bertanya kepada saya, tidak takutkah berhadapan dengan tentera Israel?

“Bagi saya dan kumpulan misi bantuan, jawapannya adalah tidak kerana kami sudah bersedia dari segi mental dan fizikal dengan apa jua kemungkinan yang akan kami hadapi bagi menghantar bantuan ke sana,” katanya.

Tambah Fauziah, masyarakat dunia perlu memberi tekanan berterusan kepada pihak yang bertanggungjawab di negara yang bergolak, supaya pergolakan itu tidak berlarutan.

“Walaupun kami hanya menggunakan bot kecil untuk ke Gaza namun misi yang kami bawa cukup besar, mereka yang terlibat juga dari pelbagai latar belakang agama dan negara. Semuanya bersatu atas nama keamanan,” ujarnya.