MANJUNG: Wakil rakyat dan ketua masyarakat diingatkan supaya tidak menyalah guna bantuan rakyat untuk kepentingan peribadi selain memastikan ia sampai kepada kumpulan sasaran.

Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, mereka yang didapati tidak amanah dalam menjalankan tanggungjawab itu akan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

“Saya pesan pada semua wakil rakyat di Perak untuk pastikan penerima bantuan ini benar-benar sampai ke sasaran,

“Saya tidak mahu dengar cerita tidak enak seperti Ketua Kampung, Penghulu atau sesiapa saja yang ambil bantuan ini dan diletakkan di tempat mereka, lalu dia bahagikan kepada sesiapa sahaja ikut suka dia.

“Boleh jadi dia bagi kepada saudara mara atau hanya kepada orang sama dan kumpulan saja setiap kali, ini saya tak benarkan berlaku di Perak, dan mereka mungkin tidak akan dilantik semula,”ujar Dr. Zambry.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Program Kembali ke Sekolah di Dewan EMV di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memuji tindakan PLUS Malaysia Berhad yang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan membantu meringankan beban keluarga yang terpilih.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, seramai 600 pelajar di sekitar DUN Pangkor menerima kelengkapan sekolah daripada UEM Group-PLUS.

“Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 8,400 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara yang menerima kelengkapan persekolahan tahun ini,” katanya.

Jelasnya, sejak tahun 2012 hingga 2016, PLUS telah membelanjakan kira-kira RM12 juta bagi menjalankan program berteraskan komuniti, kebajikan serta kempen keselamatan jalan raya.