Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Menteri Besar Perak memberi amaran keras kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan menyalahgunakan kotak sumbangan Yayasan Bina Upaya (YBU) untuk kepentingan peribadi.

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya terdapat laporan ada pihak yang menggunakan kotak makanan YBU dengan sewenang-wenangnya.

“Kotak makanan YBU ini kita beri kerana kita prihatin dengan keperluan rakyat, kita lihat dan rasa masalah yang dihadapi, sebab itulah kita keluarkan idea kotak makanan.

“Kalau saya dapat tahu, ada orang yang menyalahgunakan kotak makanan ini, saya mahu pastikan tindakan sewajarnya diambil,”katanya

walkabout-MB 2Beliau berkata demikian ketika Program Walkabout Buntong sempena Program Permukiman Menteri Besar Daerah Kinta di Dewan Serbaguna Desa Rishah Buntong 5, di Buntong, dekat Ipoh pada petang Rabu.

Jelas Dr Zambry, setiap makanan yang dibekalkan telah dipilih dengan teliti kerana kerajaan negeri ingin memastikan rakyat mendapat makanan yang berzat dan berkualiti.

Dalam program tersebut, sebanyak 180 kotak YBU diserahkan kepada golongan yang memerlukan.

Bantuan pelajaran di bawah Tabung Pendidikan Khas kaum India berjumlah 15,300 diagihkan kepada 82 penerima daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim,; Pengerusi MIC Perak Datuk V Elango serta Pengerusi MyPPP Buntong, Datuk Naran Singh.

Dalam pada itu, Dr Zambry turut meluangkan masa dan melaksanakan Ziarah Kasih serta beramah mesra bersama komuniti di sekitar kawasan DUN Buntong.