IPOH – Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu menggesa kesemua rakyat untuk memelihara perpaduan di kalangan masyrakat berbilang kaum di negeri ini dan tidak membiarkan perpecahan berlaku hanya akibat perbezaan pendapat.

Beliau juga menggesa, umat Islam khususnya harus memelihara tali persaudaraan di kalangan ummah dan sentiasa mencari jalan penyelesaian cara baik bagi mencari titik pertemuan walaupun berdepan pergeseran pandangan.

“Sudah tentu kita ada perbezaan pendapat dalam isu-isu tertentu tapi jangan sampai bawa kepada perpecahan kalau ada perbedaan, tetap berpegang kepada tali Allah iaitu ajaran Islam yang sebenar.

“Sentiasa berlapang dada dan bawa berbincang untuk bersama-sama mencari titik pertemuan dan bukan titik perbalahan,” katanya ketika berucap pada majlis Sayangi Malaysiaku Qasidah dan Selawat bersempena sambutan kemederkaan di Bulatan Meru, Ipoh pada Khamis.

Lebih 10,000 pengunjung telah hadir ke program berkenaan sambil menantikan ambang merdeka dengan berselawat dan diakhiri dengan bacaan doa.

Menteri Besar turut mengajak umat Islam di negeri ini untuk mensyukuri nikmat keamanan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T ke atas bumi bertuah ini dan tidak mengambilnya secara sambil lewa.

“Sebagai rakyat Malaysia kita harus bersyukur dengan nikmat keamanan dalam negara berdaulat ini, nikmat keamanan ini tidak ternilai harganya jika dibandingkan saudara-saudara kita di luar negara yang diuji dengan belenggu penjajahan, peperangan dan pergolakan bersenjata sehingga meragut nyawa,” ujarnya.

Ketika berucap, beliau juga memohon rakyat di negeri ini terus mendoakan pentadbiran kerajaan negeri pimpinannya untuk terus berpegang kepada amanah dan berjaya mengembalikan kegemilangan Perak.

“Mohon doakan kami kekal di jalan benar dalam membina Perak ke arah negeri aman makmur dan dirahmati Allah setiap masa.

“Hanya satu doa dan harapan saya iaitu mewariskan satu pentadbiran telus, bersih dan amanah..Insyallah,” kata beliau.