CHENDERONG BALAI: UMNO dan Barisan Nasional tidak harus selesa dengan kelemahan parti-parti pembangkang di dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke – 14 (PRU14) yang akan datang.

Sebaliknya, mereka mesti bersedia dengan kekuatan sendiri untuk memenangi pilihan raya itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, UMNO tidak boleh mengharapkan kemenangan semata-mata di atas kelemahan parti lawan.

Menurut beliau, parti lawan mungkin tidak sehaluan di dalam menentukan siapa calon Perdana Menteri tetapi mereka mungkin boleh bersatu pada bila-bila masa.

“Saya tidak berasa bergembira dengan kesusahan atau permasalahan orang lain, itu perinsip saya. Saya nak menang bukan kerana orang lemah, saya nak menang kerana saya kuat.

“Kita nak UMNO dan Barisan menang atas kekuatan kita, atas kerja kuat kita, kecekapan kita. Jadi, kita ahli dan pemimpin UMNO bersedia untuk menunjukkan kehebatan kita dalam berlawan dengan parti-parti pembangkang hadapi pilihanraya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyampaikan bantuan Ramadan kepada warga miskin dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Salak, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kesediaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang pada PRU14.

Sebelum itu, beberapa parti pembangkang, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.