SUNGAI SIPUT: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi amaran kepada pihak yang berkenaan supaya jangan sekali-kali cuba menyalahgunakan bantuan yang diberikan kepada golongan yang memerlukan.
Beliau memberi contoh, makanan di dalam kotak bantuan Yayasan Bina Upaya mestilah yang masih elok, bukannya yang sudah tamat tempoh.
Dr Zambry mendedahkan, beliau sendiri pernah mengarahkan supaya pembelian daripada syarikat pembekal ditamatkan apabila mereka membekalkan makanan yang sudah tamat tempoh.
“Mentang-mentanglah mereka orang susah, tak kan kita hendak beri makanan yang sudah tamat tempuh.
“Bagi saya, sepatutnya makanan untuk orang susah mesti lebih baik daripada pemimpin,” katanya ketika berucap di majlis pertemuan dengan masyarakat India sempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Kuala Kangsar di Dewan Tun Sambanthan di sini pada Selasa.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal; Setiausaha Agung MIC, Datuk A. Sakthivel; Pengerusi MIC Perak yang juga Penasihat Menteri Besar, Datuk V. Elango; Ketua Pemuda MIC Malaysia yang juga Pegawai Khad Menteri Besar, Datuk C. Sivarraajh dan ADUN Lintang, Datuk Dzolkafly Harun.
Selain daripada barangan kotak bantuan, Dr Zambry turut mengingatkan pihak berkenaan supaya jangan sekali-kali menyalahguna wang bantuan anak yatim dan orang miskin.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus membantu masyarakat India walaupun pembangkang cuba menafikannya.
“Mereka (pembangkang) berkata begitu kerana mereka sendiri tidak mampu untuk melakukannya.
“Saya tidak kira, mereka boleh kritik tetapi kita kerajaan BN akan terus membantu kaum India,” ujarnya.
Sementara itu, Elango memberitahu, sejak menerajui kerajaan negeri Perak pada 2009, Dr Zambry telah memberi banyak bantuan kepada masyarakat India.
Beliau memberi contoh, setiap tahun kira-kira 3,500 rakyat dalam kumpulan B40 menerima pelbagai bantuan di samping 2,000 ekar tanah untuk ladanh kelapa sawit bagi membantu sekolah-sekolah Tamil di negeri ini.
Dalam pada itu, Elango memberitahu, sempena program permukiman kali ini, seramai 1,535 warga India menerima pelbagai bantuan.
Menurutnya, 95 orang menerima bantuan pelajaran, 890 menerima beg sekolah sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), 200 menerima baucer makanan juga sumbangan TNB, 150 menerima kotak makanan sumbangan Yayasan Bina Upaya (YBU) dan 12 orang lagi menerima cek pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).