IPOH: Golongan muda di negeri ini dinasihatkan supaya jangan takut untuk menyalurkan idea dan pandangan mereka walaupun mungkin ada yang beranggapan idea atau pandangan itu bodoh.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, mereka perlu mengikis rasa rendah diri kerana setiap individu mempunyai kelebihan masing-masing.

Oleh itu, kata beliau, selaras dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang mahu mengumpul kira-kira 10,000 idea sepanjang Perak Festival Of Ideas (PFOI), semua peserta mesti mengambil peluang untuk memberi pandangan dan pendapatan mereka.

“Jangan malu untuk meluahkan idea dan jangan fikir orang hebat sahaja yang boleh memberi idea,” katanya ketika berucap merasmikan seminar The Future Training of Workforce for the Industry 4.0 di Auditorium PHCDC, PTTC, Bandar Meru Raya di sini pada Sabtu.

Hadir sama Naib Presiden Pusat Pembangunan Modal Insan Perak (PHCDC), Datuk Dr R. Subramaniam dan Pengurus Besar PHCDC, S. Manievel Subramaniam.

Seminar sehari anjuran PHCDC itu dihadiri hampir 100 peserta yang terdiri daripada penuntut pusat latihan kemahiran dan pemain industri kecil dan sederhana (IKS).

Saarani berkata, Perak mesti menyediakan modal insan untuk industri masa depan yang berasaskan kepada industri digital, teknikal dan robotik.

“Kita tidak boleh tertinggal dan tidak mampu hanya menjadi pemerhati kerana kita memerlukan modal insan yang hebat, yang mampu berhadapan dengan dunia tanpa sempadan,” ujarnya.