IPOH– “Kalau dulu kita (ahli Parti Amanah Negara) boleh meninggalkan Pas, kenapa orang lain tidak boleh tinggalkan parti mereka”, ujar Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas timbulnya kegelisahan dan ketakutan dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Amanah untuk menerima ahli yang keluar dari Umno.

“Saya mengharapkan supaya tidak ada satu perasaan dendam terhadap di kalangan mereka yang meninggalkan Umno untuk menyertai parti Amanah khususnya Pakatan Harapan.

“Malah kita kini sedang bekerjasama yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang dulu kita lawan dan tolak beliau, akhirnya kita boleh menerima beliau.

“Begitu juga kita seharusnya bersikap terbuka untuk terima orang lain khususnya daripada Umno untuk sertai Pakatan Harapan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan di Konvensyen Amanah 2018 di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Ahad.

Namun begitu ujarnya, beliau mengingatkan kepada ahli Umno yang berhasrat untuk menyertai PH dan Amanah supaya meninggalkan tabiat lama yang sebelum ini meletakkan politik kuasa untuk mengumpul kekayaan.

“Ini bukan tempat kita kumpul kekayaan untuk diri dan keluarga, ini tempat untuk menggalas amanah membina negara, untuk kepentingan rakyat.

“Tidak perlu ada rasa takut (penyertaan ahli Umno), kita ada perundangan, ada disiplin, mereka yang menyertai kita atau kita sendiri yang melakukan kesilapan bertentangan dengan peraturan parti, maka tindakan disiplin boleh diambil kepada pihak tersebut

“Kita berpendirian bahawa Allah memberi peluang kepada kita untuk insafi diri dengan kelemahan dan kesalahan yang dilakukan sebelum ini begitu juga kepada orang lain,” katanya lagi – berita harian