Oleh: Nazialita Geynna Maharan

GOPENG: Kementerian Pertanian  dan Industri Asas Tani menasihatkan pembeli agar tidak terikut-ikut dalam memboikot para pengusaha durian yang meletakkan harga tinggi bagi buah kegemaran rakyat Malaysia.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak melaksanakan sebarang kekangan kerana durian tidak tersenarai dalam harga barang kawalan di negara ini.

Katanya, kadar harga durian ditentukan oleh permintaan dan penawaran oleh masyarakat, baik daripada negara China atau mana-mana sahaja pihak yang menginginkannya.

“Ianya tidak adil kepada pengusaha, kalau anda jadi pengusaha dan menanam durian, dan tidak dibenarkan untuk menjual hasil tanah pada harga pasaran, marah ke tak?

“Kita kena berlaku adil kepada pengguna, juga kepada petani justeru untuk membantu pengguna kita akan meningkatkan penawaran iaitu supply, dengan menanam lebih banyak pokok durian kelak,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Fruit, Flower dan Food Fiesta 2017#famafest di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini, hari ini.

Katanya, permintaan daripada pelbagai pihak kini begitu melonjak tinggi dan ini menyebabkan harga durian meningkat justeru kerajaan tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan menggalakkan orang ramai untuk menanam pokok durian untuk meningkatkan penawaran sekaligus mengurangkan harga raja buah itu.

“MOA akan beri insentif dan sebagainya, bagi penanaman pokok buah-buahan yang baru, begitu juga dengan tujuan penanaman semula.

“Kesemua pendekatan ini adalah lebih rasional untuk menangani isu harga durian yang tinggi ini, dan bukannya terus memaksa pengusaha dan petani untuk memotong harga, kasihan dekat mereka juga,” katanya lagi.