IPOH – Orang ramai terutamanya pengguna laman sosial dinasihatkan untuk meminimumkan pendedahan mengenai butiran peribadi diri bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Ketua Unit Hal Ehwal Pengguna Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Mohd Shazrol Mohd Shah berkata, keghairahan mendedahkan maklumat diri di laman sosial boleh mengundang pelbagai ancaman kepada pengguna itu sendiri.

Menurutnya, trend memuat naik butir peribadi seperti gambar keluarga, anak, isteri dan lain-lain secara tidak langsung akan memudahkan mereka menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.

“Sekarang ni jadi trend untuk muat naik gambar di laman-laman sosial.

“Saya sarankan kalau nak letak gambar, letak gambar yang elok. Jangan letak gambar anak, isteri. Takut-takut orang buat perkara yang tidak baik. Tak letak pun tak apa sebab tak ada pun keperluan atau syarat ‘kena’ letakkan gambar,” katanya.

Mohd Shazrol berkata demikian pada sidang media sempena Sesi Perkongsian Maklumat Industri (KSS) Edisi Ke-6 sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia (WCRD) 2017 dengan tema ‘Membina Dunia Digital Yang Dipercayai Pengguna’ di sebuah hotel, semalam.

Hadir sama, Pengarah Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Ahmad Izham Khairuddin dan Ketua Seksyen Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDKK) Negeri, Hamidah Azizan.

-Sinarharian