PASIR SALAK: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman menasihatkan rakan-rakannya di dalam Barisan Nasional (BN) supaya tidak terlalu menghentam calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berpendapat, tindakan sedemikian boleh memberi kesan negatif kepada UMNO dan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, pemimpin UMNO dan BN sebaliknya perlu membentangkan laporan kejayaan dan kecemerlangan yang telah dilakukan kerajaan BN.

“Bagi saya, eloklah kalau mereka nak letakkan Dr Mahathir sebagai calon kerana tanggungjawab Perdana Menteri sangat besar yang memerlukan stamina, tenaga dan fikiran yang hebat.

“Lazimnya, kalau sudah berumur seperti beliau, tentulah lemah.

“Pada saya biarlah dia jadi calon yang lemah, senang kita buat kerja. Kalau mereka letak calon yang kuat, apa untungnya pada kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Sambutan 45 Tahun Rancangan Tanah Belia Khas Seberang Perak dekat sini pada Sabtu.

Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Tajudin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, sekiranya pemimpin UMNO dan BN ingin mengkritik Dr Mahathir, biarlah ia dibuat secara berhemah dan dengan hujah yang boleh diterima rakyat.

“Dalam budaya Melayu, orang tak suka kita kutuk pemimpin secara keterlaluan dan kita mesti tunjukkan kepada rakyat bahawa kita pemimpin yang berhemah dan bermaruah,” ujarnya.

Tambahan pula, kata beliau, pengundi di negara ini telah sangat matang dan mampu membuat penilaian terbaik masing-masing.

“Saya seru rakan-rakan seperjuangan dalam BN, marilah kita hadapi PRU akan datang dengan kekuatan dan kejayaan membela rakyat dan membangunkan negara,” kata Tajudin.