LUMUT – Seluruh warga formasi Armada Barat diingatkan agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pelanggaran disiplin seperti penyalahgunaan dadah, perjudian dan perlakuan jenayah.

Panglima Armada Barat ke-23, Laksamana Madya Datuk Rusli Ramli berkata, setiap anggota perlu berfikir secara matang sebelum mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang.

“Ia merupakan perkara yang amat mendukacitakan dan memalukan kerana implikasi daripada tindakan yang diambil oleh anggota tersebut bukan sahaja memberi kesan kepadanya, malah juga melibatkan isteri, anak serta ahli keluarga.

“Oleh demikian, saya mahukan semua pegawai memerintah dan ketua jabatan lebih prihatin dalam usaha menghindari gejala pelanggaran disiplin daripada menular terutamanya dalam penyalahgunaan dadah,” katanya ketika berucap pada Perbarisan Operasi Panglima Armada Barat, di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, hari ini.

Tambahnya dia tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat mana-mana pegawai dan anggota sekiranya ditangkap terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Masalah penyalahgunaan dadah seharusnya diperangi habis-habisan dan zero tolerance, di mana saya tidak akan sesekali memberi ruang kepada mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan dadah untuk terus berkhidmat dalam TLDM,” katanya.

Sementara itu, seramai 48 pegawai dan 465 anggota lain-lain pangkat (LLP) tampil segak berpakaian celoreng digital, masing-masing membawa senjata M4 Carbine bagi LLP dan pistol glock 17 bagi pegawai.

Perbarisan ini merupakan perbarisan ulung Panglima Armada Barat selepas beliau mengambil alih tampuk pemerintahan tertinggi di Armada Barat sejak 15 November lalu – sinar