SUNGKAI: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai slogan dan janji manis pemimpin pembangkang.

Beliau memberi contoh, pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu, DAP telah memperkenalkan slogan ‘Ini Kalilah’ sehingga ada rakyat yang percaya dan sanggup pulang dari luar, semata-mata untuk mengundi pembangkang.

Bagaimanapun, kata beliau, selepas pilihan raya umum itu, ramai pengundi yang menyesal kerana mengundi calon pembangkang.

“Ada yang datang jumpa saya dan menangis kerana menyesal, tetapi apa guna lagi,” katanya ketika berucap di majlis perjumpaan dengan masyarakat India sempena program Permukiman Menteri Besar di Daerah Muallim di Dewan Seri Sungkai di sini pada Selasa.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Datuk Rusnah Kassim, Ahli Dewan Undangan Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Penasihat Menteri Besar, Datuk V Elango.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dr Zambry berkata, rakyat perlu meneliti terlebih dahulu segala janji manis yang ditaburkan pemimpin pembangkang.

“Pembangkang akan terus taburkan janji tetapi kerajaan Barisan Nasional akan terus membela dan membantu rakyat,” ujarnya.

Di majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan pelbagai bantuan untuk masyarakat India setempat, termasuk dermasiswa, pinjaman perniagaan dan kotak makanan Yayasan Bina Upaya (YBU).