BALING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Baling menasihatkan orang ramai jangan terpedaya dengan tawaran mendapatkan lesen memandu secara mudah oleh satu sindiket menggunakan laman sosial Facebook (FB).

Kewujudan laman FB itu mula viral selepas dipercayai memperdaya 50 orang yang ingin mendapatkan lesen memandu tanpa perlu ke pusat latihan dan ujian memandu untuk mengikuti beberapa sukatan pembelajaran sebelum memperoleh lesen yang sah.

Selain lesen memandu, sindiket itu dipercayai turut menawarkan perkhidmatan tukar hak milik kenderaan sekiranya gagal mengesan pemilik asal.

Ketua Cawangan JPJ Baling, Mahyuddin Ahmad, mengingatkan orang ramai jangan mudah terpedaya kerana tiada jalan pintas untuk mendapat lesen memandu secara mudah seperti ditawarkan pemilik akaun FB terbabit.

Menurutnya, mereka yang ingin mengambil lesen memandu perlu ke pusat latihan dan ujian memandu yang diiktiraf oleh JPJ di mana-mana kawasan berhampiran.

“Setiap calon mesti mengikuti beberapa sukatan pembelajaran yang ditetapkan oleh JPJ kerana sebelum mereka menerima lesen, beberapa proses mesti diikuti sehingga calon layak diuji dan mendapat lesen yang sah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mahyudin berkata, orang ramai boleh merujuk dengan JPJ untuk mendapat penerangan dan penjelasan supaya mereka tidak tertipu dengan sindiket berkenaan.

“Jangan mudah percaya apa yang tular dalam media sosial kerana banyak helah sindiket untuk mengaut keuntungan dengan cepat,” katanya.

“Mereka yang teraniaya boleh membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkenaan menjalankan siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta menyiasat kewujudan laman FB itu bagi mengelak lebih ramai lagi tertipu – berita harian